Soalan: Dr Asri, saya ingin bertanya
soalan tentang kedudukan mereka yang tidak menghormati Imam al-Ghazali
dan kitab beliau Ihya ‘Ulum al-Din. Ini seperti mereka yang menyatakan
dalam Ihya Ulum al-Din ada hadis yang tidak sahih atau pandangan yang
tidak tepat. Patutkah perkataan mereka ini. Tidakkah ini tidak
menghormati ulama Islam? Harap Dr Asri dapat berikan pandangan dan
siarkan kepada orang awam.
Haji Ibrahim, Ipoh.
JAWAPAN DR MAZA:
Terima kasih atas soalan yang dikemukakan. Tuan, dalam
nas-nas al-Quran dan Sunnah, juga suri teladan yang ditunjukkan oleh
golongan salafussaleh, kita semua disuruh menghormati para ulama dan
golongan yang soleh dalam kalangan umat ini. Mereka yang kita kasihi itu
ialah insan-insan yang berjasa dalam mempertahankan Islam dan
menyebarkan dakwahnya. Kita percaya al-Imam al-Ghazali termasuk dalam
kalangan mereka. Namun, ini tidaklah bererti kita dihalang untuk
memberikan atau menerima pakai pendapat yang berbeza dengan ulama-ulama
tertentu. Untuk menjelaskan lagi soalan tuan haji, saya sebutkan
perkara-perkara;
2. Namun, al-Imam al-Ghazali r.h sama seperti para ulama yang lain, mereka bukan nabi yang maksum dari kesilapan. Demikian bukunya Ihya ‘Ulum al-Din bukanlah al-Quran yang tidak mungkin dikritik. Maka, berbeza dengan beliau, atau tidak bersetuju dengan beberapa pendapat beliau dalam karyanya itu bukanlah haram. Ini selagi pendapat itu berdasarkan ijtihad yang terdedah kepada berbagai tafsiran. Kata sarjana hadis dan sejarawan Islam yang agung al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H):
“Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan”( Siyar Alam al-Nubala 19/339, Beirut : Muassasah al-Risalah).3. Antara perkara yang dibincangkan mengenai Ihya ‘Ulum al-Din ialah kedudukan atau nilaian hadis-hadis nya. Banyak hadis-hadis yang lemah dan palsu terdapat dalamnya. Ini telah mengundang banyak kritikan sarjana hadis. Tokoh tafsir yang hadis yang terkenal iaitu al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) berkata:
“Ketika berada di Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan jantung hati. Namun padanya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu”. ( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).4. Hal ini juga pernah disebut sebelum itu oleh al-Imam al-Hafiz al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H):
“Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasar pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).Hakikat ini diakui sendiri oleh al-Imam Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H) iaitu tokoh mazhab al-Syafi’i terkenal yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya dengan menyatakan:
“Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith”. Bahkan beliau mengira sebanyak 943 hadith yang tidak didapati sanad asalnya. (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut :Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).5. Namun, alhamdulillah, al-Hafiz al-‘Iraqi (meninggal 806H) yang merupakah sarjana hadis yang besar dalam sejarah telah menilai dan mengkritik hadis-hadis dalam Ihya ‘Ulum al-Din untuk manfaat ramai. Beliau telah menyemak hadith-hadith Ihya` dengan menyebut sumber hadis-hadis yang disebut dalamnya serta kedudukan hadis-hadis tersebut. Banyak hadith-hadith Ihya` telah dihukum tidak ada asal-usul dalam kitab-kitab hadis. Takhrij (menilai sumber dan kedudukan) al-Hafiz al-`Iraqi telah dicetak bersama dengan dengan kitab Ihya`. Maka hendak kita berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab tersebut, dengan cara merujuk kepada takhrij oleh al-Imam al-‘Iraqi tersebut.
Kata seorang muhaqqiq yang terkenal di zaman ini al-Syeikh Syu`ib al-Arnaud:
“Al-Hafiz Abu Fadl `Abd al-Rahim al-`Iraqi (meninggal 806H) telah menyemak hadis-hadis Ihya `Ulum al-Din kesemuanya dalam semua kitab yang dinamakan Al-Mughni `an haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya min al-Akhbar. Ianya dicetak bersama dengan Ihya. Beliau telah menunjukkan setiap hadis kepada sumbernya serta menyatakan kedudukannya. Kebanyakan hadis-hadis tersebut beliau menghukumnya sebagai dhaif (lemah) atau palsu, atau ianya tidak ada asal dari ucapan Rasulullah s.a.w. Maka hendaklah para penulis, khatib, guru dan penceramah berhati-hati dalam memetik dan berhujah dengan hadith-hadith ihya` selagi mereka tidak jelas tentang kesahihannya menerusi semakan al-Hafiz al-`Iraqi. Sesungguh seorang ulama hadith Syam, Badr al-Din al-Hasani telah berkata: “Tidak harus mensandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah s.a.w. kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh salah seorang huffaz (yang amat pakar dalam hadith) yang dikenali. Sesiapa yang berkata: “Rasulullah telah bersabda” sedangkan dia tidak tahu kesahihan hadis tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadis “Sesiapa yang berdusta ke atasku apa yang aku tidak ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (Syu`ib al-Arnaud, nota kaki tahqiq Siyar `Alam al-Nubala`, 19/340).Demikian seorang tokoh hadis Mesir yang terkenal al-Syeikh Abu Syahbah juga menyebut:
“Aku nasihatkan kepada sesiapa yang membaca Ihya` agar tidak berpegang dengan hadith-hadith yang disebutkan kecuali setelah melihat takhrij (penilain) al-`Iraqi. Jika tidak dia akan terjatuh dalam dosa berdusta sedangkan dia tidak sedar”.(Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi `Ulum wa Mustalah al-Hadith, m.s 254, Kaherah: Dar al-Fikr)6. Maka dengan itu, jika terdapat perkataan mana-mana pihak yang menyatakan dalam Ihya ‘Ulum al-Din adanya hadis-hadis yang lemah dan palsu, bukanlah perkara yang diada-adakan. Ia telah disebut oleh para ulama hadis sebelum ini. Namun, ini tidak bererti kita menafikan isi kandungannya yang berfaedah dan baik.
7. Antara lain yang dikritik adalah beberapa pandangan kerohanian yang terdapat dalamnya. Masalah ini menjadi perbincangan dalam kalangan sarjana. Ada beberapa pandangan dalamnya dianggap kurang sesuai atau melebihi tahap yang sepatutnya. Sehingga al-Imam al-Zahabi menyebut:
“Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”. (Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339).Dr Yusuf al-Qaradawi juga mengkritik beberapa pandangan al-Imam al-Ghazali rh dengan katanya:
“Apa yang dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat –sekalipun secara tidak langsung- bahawa insan contoh di sisi al-Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah r.a, yang difahami dari al-Quran, Sunnah dan Sirah. Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara meningkatkan ruh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmat nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah Ta’ala, antara beribadah dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezekiNya, yang berkerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan akan mati esoknya”.( Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, m.s 164, Beirut: Muassasah al-Risalah).8. Apapun, di samping beberapan kelemahan yang dikritik, tulisan beliau tetap mempunyai keunggulannya yang tersendiri dalam mendidik jiwa dan menghaluskan perasaan. Beliau telah menyumbang, dan ulama lain juga menyumbang. Kita mengambil manfaat dari semua dan menghargai semua. Kita beradab dengan mereka, namun itu tidak menghalang untuk kita bersetuju dengan pengkritik mereka, atau berbeza pendapat dengan mereka. Dengan syarat ia berasas ilmu, bukan emosi. Maka demikian pendirian kita terhadap karya al-Ghazali r.h.