ULAMA YANG BAGAIKAN ANJING
Dalam kesibukan membincangkan isu
sentuh anjing, kita jangan lupa ada isu yang lebih besar yang
dibangkitkan oleh al-Quran berhubung dengan anjing, iaitu ULAMA YANG
BERSIKAP BAGAIKAN ANJING. Ini al-Quran sebut dalam Surah al-A'raf ayat
175-176.
Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka
(Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya
(pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya
terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada
orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan
pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan
menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti ANJING, jika engkau
menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya:
dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya
mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).
Ayat ini
menceritakan perihal kisah seorang ilmuwan agama yang meninggalkan
ajaran Allah semata-mata kerana keinginannya kepada dunia.
Riwayat-riwayat Israiliyyat menyebut nama orang tersebut ialah Bal'am.
Apa yang penting, ayat ini telah menyamakan ulama yang menjual nilai
ajaran Allah hanya untuk kepentingan dunianya sama seperti anjing yang
sentiasa menjelirkan lidah. Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu
dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopah dengan silauan
tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan
lidah.
Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau
oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya. Demikian ilmuwan yang sentiasa
kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai
dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya
yang hodoh mencari yang lain habuan yang lain. Pelbagai fatwa mengampu
dikeluarkan. Jika pihak yang diampu membuat salah, dia mencari dalil
menjustifikasikannya. Jika musuh pihak yang diampu membuat salah, dia
mencari puluhan dalil yang memasukkan mereka ke dalam neraka. Jika pihak
yang diampu itu betul, berlebih-lebihan dia memuji dengan segala dalil
agama. Jika musuh pihak yang diampu betul, dia cuba mencari dalil agama
untuk melihat kelemahan dari sudut yang lain.
Maka Allah
menjanjikan bagi ulama yang menyembunyikan kebenaran balasan yang
dahsyat. Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang
menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh
Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak
mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak
akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak
membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang
perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).
Ya! ulama itu bukan
malaikat atau nabi yang maksum. Mereka seperti insan lain yang terdedah
kepada salah dan dosa. Namun walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh
menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga
mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T. Ini kerana yang
menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh
mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu
berfungsi untuk kemaslahatan manusia.
Menjadi mat rempit, atau
perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada
ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga
manusia tersesat. Maka al-Quran menyamakan ulama yang memutarkan
kebenaran itu seperti anjing yang menjelirkan lidah.