ZKIRAH HARI INI (Rabu, 24 Jdl. Awal 1435H)
Al Mafqud / Orang Yang Hilang
Dalam Kitab al-Haawi al-Kabir ( الحاوى الكبير ) dalam fiqh Mazhab Imam Asy-Syafi’e
diterangkan bahawa orang yang hilang dalam waktu yang lama dan tidak diketahui
apakah masih hidup atau sudah mati maka orang itu harus dihukumi hidup sehingga
diketahui dengan pasti apakah mafqud tersebut sudah mati atau masih hidup, maka
tidak boleh menghukumi kecuali dengan yakin. Dan sekiranya belum diketahui
dengan yakin tentang kematiannya, maka wajib menunda dulu kepemilikan hartanya
sampai batas waktu yang telah ditentukan.
PENCERAHAN :
Secara mudah, yang dimaksudkan dengan al-Mafqud ialah orang
yang hilang, tanpa diketahui sama ada masih hidup atau mati. Hukum status
perkahwinan al-Mafqud di dalam Mazhab Shafie, terdapat dua pendapat dalam isu
ini:
1. Tidak diputuskan hubungan suami isteri bagi kes orang
hilang, sehinggalah dibuktikan secara sah akan status hidup atau mati orang
yang hilang tersebut. Diriwayatkan yang Imam Al-Shafie berkata, sesungguhnya
sesiapa yang hilang pasangannya, atau tidak hilang tetapi tidak pulang pada
satu hari satu malam, atau pecah bahteranya di lautan, dalam keadaan tiada
berita dan bukti mengenai status hidup atau matinya, maka si isteri tidak boleh
berkahwin lain, sehinggalah diyakini akan kematiannya.
Ini berdasarkan hadith yang diriwatkan oleh Saidina Ali,
Nabi Muhammad SAW bersabda (امرأة المفقود ابتليت فلتصبر ولا تنكح حتى
يأتيها موته ) bermaksud "Perempuan yang kehilangan suami, diuji, maka
hendaklah dia bersabar dan janganlah bernikah lain sehinggalah nyata berita
kematiannya" (HR: Al-Mahalli). Pendapat ini turut dikongsi oleh Mazhab
Hanafi.
2. Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan bagi
wanita yang kehilangan suami, hendaklah dia menahan dirinya daripada bernikah
selama 4 tahun daripada tarikh kehilangan suaminya. Selepas 4 tahun, barulah
dia mengambil iddah kematian suami, dan selepas itu baru boleh bernikah lain.
Ini ialah pendapat lama Imam al-Shafie (Qaul qadim).
Ini berasaskan kepada hadith yang diriwayatkan mengenai Umar
bin Al-Khattab r.a, di mana beliau membenarkan seorang isteri di zamannya untuk
mengambil tempoh 4 tahun sebelum berkahwin lain. Uthman bin Affan, Abdullah bin
Abbas juga dilaporkan mengambil sikap yang sama. (Raudah al-Talibin).
Berkaitan pewarisan harta al-Mafqud pula, dalam kitab Mughni
Muhtaj disebutkan: Orang yang hilang atau orang yang tiada khabar beritanya dan
meninggalkan harta maka hartanya ditunda (tidak dibahagi) sehingga sahih
tentang kematiannya atau dalam waktu yang lama sehingga disahkankan kematiannya
oleh hakim (pemerintah) kemudian barulah hartanya boleh diberikan kepada ahli
warisnya
Muhammad Ali Ash-Shabuni pula menerangkan dalam kitab
Al-Mawarits bahawa pendapat ulama Syafi’iyah: “Seseorang yang hilang dianggap
sudah meninggal dunia apabila teman-teman sebayanya sudah meninggal dunia.
Diukur dengan jangka waktu harus mengambil masa kira-kira 90 tahun. Menurut
qaul sahih bahawa waktu itu tidak boleh dibahagi-bahagikan dulu akan hartanya
kecuali telah diputuskan akan kematiannya oleh hakim.
Pendapat ini dikongsi oleh Imam Syafie dalam kitabnya
al-Umm. Beliau menerangkan bahawa tidak ada warisan oleh pewaris (orang yang
mewarisi) sebelum orang yang empunya harta telah jelas meninggal dunia.
KESIMPULAN :
Ingin ditegaskan di sini bahawa mengambil tempoh yang lama
untuk menentukan status hidup atau mati seseorang adalah mengikut pendapat
ulamah fiqh dan qaedah Islam. Maka pihak berwajib janganlah bersifat
terburu-buru untuk mengisytiharkan kematian penumpang pesawat MH370 tersebut
dalam keadaan jenazahnya pun belum dijumpai lagi atau sekurang-kurangnya tunggu
sehingga 4 tahun.
No comments:
Post a Comment