*PENGGUNA SEMAKIN TERTEKAN DENGAN KENAIKAN OPR*
Jawatankuasa Polisi Kewangan (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) akhirnya menaik Kadar Faedah Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25% sebagaimana pengumuman BNM hari ini. Dalam kenyataan BNM menjelaskan bahawa kenaikan OPR itu antara lain adalah untuk menormalkan suasana penggunaan kewangan negara.
Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (PAS) telah beberapa kali menegaskan pandangan kami, termasuk yang terbaru pada 23 Januari 2018, bahawa OPR tidak sepatutnya dinaikkan pada tempoh ini walaupun keadaan ekonomi yang tumbuh dan dalam momentum menaik sekarang. Walaupun beberapa penganalisa telah menjangkakan kenaikan ini, PAS tetap berpandangan ianya tidak produktif kepada pasaran dan pengguna.
Meneliti kenyataan BNM tersebut, kami berpandangan tindakan terbaru dari BNM ini dibuat dalam keadaan pra-matang dan bukannya tindakan yang terdesak. Ini berdasarkan kenyataan BNM bahawa ianya bertujuan sebagai langkah awal (pre-emptive) untuk menormalkan suasana penggunaan kewangan bagi mengelak tekanan inflasi. Langkah ini dilihat tidak mesra, khususnya kepada pengguna. Walaupun ekonomi tumbuh mapan sekarang, namun hakikatnya pengguna masih dalam keadaan tertekan. Suasana tertekan pengguna ini boleh dilihat dengan data terkini Indeks Harga Pengguna (CPI) dan kadar tabungan rakyat. Mengikut Jabatan Statistik CPI untuk Disember 2017 terus naik iaitu sebanyak 3.5% berbanding setahun lalu.
Jesteru itu BNM sepatutnya memberi lebih masa dan ruang agar pengguna boleh membuat penyesuaian dan normalisasi dalam suasana pasaran yang menekan sekarang. Apa lagi bilamana BNM sendiri menyatakan bahawa kenaikan ini hanyalah langkah awal bagi menormalkan suasana penggunaan kewangan. Ini bermakna ianya bukanlah langkah terdesak yang, tidak boleh tidak, perlu dilakukan. Sepatutnya BNM perlu lebih bertimbang rasa dalam tindakan pengawalannya, tanpa menjejaskan pasaran.
Dengan tindakan terbaru ini maka peluang kepada pengguna untuk memperolehi sedikit ruang bertenang bagi menyesuaikan diri dengan tekanan pasaran telah terhapus. Lebih parah lagi pendapatan boleh guna pengguna juga akan berkurangan yang akhirnya akan merencat penggunaan domestik. Dalam suasana ini, PAS mencadangkan kepada semua pengguna agar meningkatkan lagi hemah dalam perbelanjaan dan memaksimakan langkah untuk menabung bagi mengambil peluang daripada OPR yang baharu ini.
*MAZLI NOOR*
Timbalan Pengerusi,
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.
09 Jamadil Akhir 1439H
26 Januari 2018
No comments:
Post a Comment