Friday, 7 May 2021

Laylatul Qadar

Mengapa Dinamakan Lailatul Qadar?

============

1. Barangkali ada yang tertanya-tanya, mengapa dipanggil malam tersebut sebagai malam Lailatul Qadar? Dalam tafsirnya, Sheikh Dr. Sayyid al-Tantawi, menjelaskan bahawa perkataan al-Qadar membawa maksud kemuliaan. Kata Sheikh al-Azhar itu:


والقدر الذي أضيفت إليه الليلة، بمعنى الشرف والعظمة، مأخوذ من قولهم: لفلان قدر عند فلان، أى: له منزلة رفيعة


“Dan perkataan al-Qadar apabila disandarkan kepada perkataan Malam ia membawa maksud malam yang penuh kemuliaan dan keagungan. Seseorang itu dipanggil sebagai “memiliki Qadar” iaitu memiliki kemuliaan.


2. Manakala sebahagian sarjana yang lain pula berpandangan bahawa al-Qadar membawa maksud sempit. Ini selari dengan penggunaanya di dalam al-Quran apabila Allah berfirman:


وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ


“dan apabila dia diuji dan rezekinya telah disempitkan.” (Surah al-Fajr)


3. Seakan-akan bumi pada malam tersebut menjadi sempit kerana dipenuhi dengan malaikat yang turun mengaminkan doa hamba-hambanya yang berdoa pada malam tersebut. Oleh yang demikian kita hendaklah memperbanyakkan berdoa seperti yang dianjurkan oleh Baginda Nabi sendiri.


4. Manakala menurut Sheikh al-Syanqiti pula, dinamakan malam Lailatul Qadar kerana pada malam tersebut ditentukan qadar atau ketetapan Qada Qadar manusia. Kata beliau:


أَنَّهَا سُمِّيَتْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ ; لِأَنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُقَدِّرُ فِيهَا وَقَائِعَ السَّنَةِ،


“Dinamakan sebagai lailatul Qadar kerana Allah menentukan ketentuan qadar yang akan berlaku pada tahun tersebut.”


5. Apa pun hikmah penamaan malam ini, kita hendaklah memperbanyakkan ibadah, pada malam yang penuh dengan kemuliaan, yang dihadiri oleh para malaikat dalam keadaan ketentuan manusia sedang ditentukan oleh Allah.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

No comments: