Friday, 18 August 2017

Bila professional menulis...

*PENGGABUNGAN BANK PERLU DILAKUKAN SEGERA*

Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU) berpandang bahawa dalam suasana kecairan sistem kewangan negara yang amat ketat sekarang, penggabungan bank-bank adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, malah ianya satu keperluan. Jesteru itu pihak industri harus memikirkan dengan serius dan bertindak sekarang.

Pihak kerajaan harus menjadi pemudah cara dengan bertindak mencetuskan perbincangan antara bank-bank, mengesyorkan padanan perniagaan (business matching) dan seterusnya menyediakan insentif-insentif yang sepatutnya. Kawal selia juga adalah amat penting kerana dalam mana-mana integrasi dan penggabungan perniagaan pun, seliaan yang ketat adalah faktor kejayaan yang utama.

Dalam suasana kadar faedah yang rendah iaitu 3% untuk OPR sekarang, kos pinjaman kepada pengguna akan lebih murah. Namun ini telah memberikan impak teknikal yang lain terutama kepada kadar pertumbuhan deposit yang makin menurun. Terbaru nisbah pinjaman deposit (LDR) untuk bank di Malaysia adalah lebih 90%. Akibatnya bank-bank akan terpaksa bersaing dengan lebih sengit untuk menarik deposit yang akhirnya akan menjejaskan kadar keuntungan mereka.

Jesteru dalam keadaan aliran tunai yang semakin ketat, langkah penggabungan adalah paling optimum demi untuk menyelamatkan industri perbankan dan seterusnya melindungi pengguna. Dengan saiz yang lebih besar bank akan mempunyai skala ekonomi yang lebih optimum untuk terus kekal berdaya saing.

LEPU juga berpandangan langkah pembesaran ke peringkatan serantau yang telah dipelopori oleh bank-bank utama Malaysia iaitu Maybank, CIMB dan Public Bank harus dicontohi oleh bank-bank lain. Dengan operasi serantau bank akan boleh mengambil peluang pasaran dan isipadu yang lebih besar yang seterusnya mampu memulihkan aliran tunai ke tahap yang lebih baik. Pun begitu, untuk mempastikan kekuatan optimum, pembesaran ke peringkat serantau hanya mampu dibuat setelah penggabungan selesai.

Sekian.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan
Parti Islam SeMalaysia (PAS)

23 Zulkaedah 1438
16 Ogos 2017

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=810289629179072&id=559464100928294

No comments: