YM Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah menyebut bahawa hari ini kehilangan adab di kalangan ilmuwan masakini ialah dengan cara mengkritik dan mencari kesalahan para ulama silam yang muktabar memandangkan untuk menandingi kehebatan mereka tiada siapa kan termampu.
Mengkritik ulama besar zaman silam dengan cara yang halus ialah dengan mengutip kalam ulama lain yang mengkritik ulama besar tersebut. Lalu dimula bicara dengan kalam Imam al-Dhahabi, misalnya "الغزالي إمام كبير وما من شرط العالم أنه لا يخطئ" (Imam al-Ghazali merupakan ulama besar, namun bukan syarat ulama besar untuk tidak melakukan kesilapan). Kalam Imam al-Dhahabi itu tentunya benar secara logikanya, bahkan tiada siapa pun yang mengatakan Imam al-Ghazali itu maksum atau tidak melakukan kesilapan. Namun bukanlah kalam itu menjadi "lesen" untuk kita berlaku biadap kepada satu-satunya ulama yang diberikan gelaran "Hujjatul Islam". Bahkan kalam itu bukan terpakai untuk Imam al-Ghazali sahaja bahkan terhadap Imam al-Dhahabi sendiri!
Ada yang menuduh kononnya Imam al-Ghazali itu Muktazilah, jahil hadith, jahil fekah dan bermacam-macam tuduhan lagi sambung menyambung di media sosial. Yang jahil itu sebenarnya penuduh-penuduh tersebut bukannya Imam al-Ghazali qs. Bukan untuk mengatakan Ihya' tiada kesilapan, kerana pasti ada melainkan al-Quran sahaja seperti kata Imam al-Shafie r.a. ketika selesai mengarang al-Risalahnya (bahawa tiada kitab yang sunyi dari kesalahan melainkan al-Quran) namun tiada adab untuk kita (yang ilmu tidak seberapa) mengkritik kitab yang manfaatnya begitu besar sekali untuk umat Islam sejak hampir seribu tahun lalu.
Kita menyedari kritikan seorang dua ulama silam terhadap kitab Ihya karangan Imam al-Ghazali seperti oleh al-Dhahabi dan Ibn Jawzi khususnya dalam Talbis Iblis (Ibn Jawzi), namun kritikan mereka tidak memberi bekas terhadap kemanfaatan kitab tersebut yang diakui oleh majoriti ulama pada masa itu dan hari ini dan terus menerus diterjemahkan ke dalam sekalian bahasa di dunia ini hingga hari ini.
Ihya Ulum al-Din bukan sembarangan kitab:
-- Imam Ibn al-Subki menyebut dalam Tabaqat al-Shafi'iyah al-Kubra (6:253) "andaikata semua kitab-kitab Islam di dunia ini musnah, memadai Ihya" untuk memandu manusia mentaati Allah SWT.
-- walaupun ada di dalamnya termuat hadith-hadith dhaif, mereka yang memahami manhaj penulisan Ihya mengerti bahawa hadith dhaif, atau hikayat yang dimasukkan bukanlah hujah utama, tetapi sekadar sokongan sahaja selepas ayat-ayat al-Qur'an, Hadith Sahih yang memuatkan 3/4 dari Ihya. Kalau tidak masakan Zain al-Din al-Iraqi, Ibn Hajar, Imam al-Zabidi dan ramai lagi mensyarahkan Ihya'. Imam Al-Zabidi sebanyak 10 jilid melalui kitabnya "Ithaf al-Sada al-Muttaqin fi Sharh Asrar Ihya 'Ulum al-Din".
-- Walaupun mimpi tidaklah boleh menjadi hujah namun boleh dinyatakan juga memandangkan ulama sehebat Imam Ibn al-Subki sendiri meriwayatkan melalui sanad Imam Abu al-Hasan al-Shadhili bahawa Ibn Hirzahm, salah seorang sheikh dari Maghribi yang berhasrat untuk membakar kitab Ihya telah bermimpi bertemu dengan Baginda SAW dan melihat Baginda SAW memuji kitab tersebut lalu memerintahkan Ibn Hirzahm disebat kerana memfitnah. Selepas disebat lima sebatan, beliau dimaafkan dan apabila beliau terjaga, beliau merasa sakit dan melihat masih ada kesan sebatan di belakangnya. Semenjak itu, beliau memuji Ihya dari kulit ke kulit.
وما توفيق الا بالله Wallahualam.
No comments:
Post a Comment