KAEDAH MENGURUS HADITH FITAN:
Menangani Takwilan Salah Dalam Masyarakat Islam Malaysia
(Muhadarah dalam dalam ucaptama Nadwah Hadis Fitan dan kaedah menananganinya dalam Masyarakat Islam Malaysia)
الحمد لله رب العالمين، والصلاة و السلام على سيدنا محمد الصادق الوعد الأمين، اللهم لا علم لنا إلا ما علمتنا، إنك أنت العليم الحكيم، اللهم علمنا ما ينفعنا وانفعنا بما علمتنا وزدنا علماً وأرنا الحق حقاً وارزقنا إتباعه، وأرنا الباطل باطلاً وارزقنا اجتنابه واجعلنا ممن يستمعون القول فيتبعون أحسنه، وأدخلنا برحمتك في عبادك الصالحين.
Dalam momen yang sentimental ini, ingatan saya masih segar kepada kata-kata hikmah atau pesanan yang ditinggal seorang guru yang kami kasihi semasa kami menjadi penuntut di Darul Uloom Deoband hampir setengah abad yang lalu. Kata-kata keramat yang penuh hikmah itu pernah diucap beliau ketika menyampaikan muhadarah dalam subjek ‘أحاديث الفتن واشراط الساعة’ bagi kitab Sahih Muslim. Muhadarah yang disampaikan beliau, dalam bahasa Urdu yang sememang bahasa komunikasi dan bahasa masyarakat Islam India.
Segala puji bagi Allah kerana saya dapat mengikuti beberapa patah dripada muhadarah yang beliau sampaikan. Izinkan saya dalam muhadharah ini untuk menyebut pesanan beliau yang berharga itu, katanya:
Terjemahannya: Sila duduk dan sila makan jika anda dalam kelaparan dan sila tinggalkan hidangan jika anda dalam kekenyangan.
Ungkapan ini pada mulanya saya ingat satu gurauan yang tidak membawa apa-apa erti selain menarik minat dan mencergaskan minda pelajar-pelajar beliau sebelum memulakan kuliah, tetapi setelah diteliti dan dihalusi, di sana tersirat satu perbandingan yang ada beberapa titik persamaan dan perbezaan di antara dua sidang. Pertama: Sidang pengajian hadith-hadith fitan. Kedua: Sidang menjamu selera. Di dalam sidang menjamu selera biasanya disediakan berbagai-bagai jenis juadah yang bebas dan terbuka kepada umum. Orang ramai dijemput makan tetapi makanan di sana tentunya ada yang sesuai diambil dan ada yang tidak sesuai. Jika makanan tidak serasi dengan tabiat seseorang, maka tinggalkan sahaja. Demikian juga dengan sidang pengajian hadith fitan, jika anda kesukaran memahaminya, anda boleh abaikan sahaja, tetapi yang lebih penting anda jernihkan fikiran terlebih dahulu sebelum melibatkan diri dengan hadith-hadith yang diistilahkan dengan ‘أحاديث الفتن والملاحم واشراط الساعة’. Ini kerana nusus hadith-hadith fitan dan malahim merupakan yang paling sukar difahami dan lebih sukar lagi untuk dikenal pasti suasana dan kesesuaiannya dengan tempat dan waktu, sedangkan tahap kefahaman berbeza-beza di antara seorang dengan yang lain.
Di sini letaknya punca masalah menyebabkan orang ramai tidak mempunyai jalan keluar dari jebak yang memerangkapkan sebahagian mereka apabila cuba mencari jalan yang selamat tetapi mereka belum menjumpainya. Justeru, terkurunglah mereka dalam bilik ilmu ghaib yang hanya diketahui Allah.
عالم الغيب فلا يظهر على غيبه آحدا الا من ارتضى من رسول (الجن: 26-27)
Terjemahan: Allah jua yang mengetahui segala yang ghaib maka Dia tidak memberitahu perkara-perkaraghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun melainkan kepada mana-mana rasul yang diredainya.
Sebahagian ulama meriwayatkan sebuah athar:
الفِتْنَةُ نَائِمَةُ لَعَنَ اللهُ مَنْ أيقَظَهَا
[قال النجم رواه الرافعي في أماليه عن أنس، وعند نعيم بن حماد في كتاب الفتن عن ابن عمر بلفظ إن الفتنة راتعة في بلاد الله تطأ في خطامها لا يحل لأحد أن يوقظها ويل لمن أخذ بخطامها. وهذا الحديث مروي فعلا لكنه ضعيف. فقد أورده الشيخ المحدث إسماعيل بن محمد العجلوني في كتابه: "كشف الخفاء ومزيل الالباس (2/83).]
Terjemahan: Fitnah itu sedang tidur, Allah tidak menyukai orang yang mengejutkannya.
Pengertian fitnah
Berbicara tentang fitnah yang menjadi tajuk muhadharah kita pada pagi ini ada baik juga kita kembali kepada erti kata dasar bagi perkataan ini. Menurut bahasa Arab, ‘الفتنة الابتلاء والامتحان والاختبار’. Menurut al-Raghib al-Asfahani: Asal al-fitan ‘إدخال الذهب في النار لتظهر جودته من رداءته ويستعمل في إدخال الإنسان النار’ iaitu memasukkan emas ke dalam api untuk menguji mana yang tulen dan mana yang palsu. Fitnah digunakan juga kepada azab keseksaan di akhirat seperti dalam firman Allah:
يوم هم على النار يفتنون (الذاريات: 13)
Terjemahan: Pada hari kiamat mereka diseksa dengan api yang membakar mereka.
Hidup ini ujian belaka
Sebenarnya sesiapa jua yang menjalani hidup di dunia ini bererti mereka menjalani fitnah hidup. Orang yang mati semuanya menjalani ujian mati. Ini kerana dunia ini semuanya ujian dan fitnah, yang buruknya fitnah dan yang baiknya juga fitnah. Wanita fitnah, lelaki juga fitnah, berkeluarga fitnah, membujang juga fitnah. Harta benda fitnah, anak pinak fitnah. Agama-agama fitnah, iblis fitnah, nafsu fitnah. Fitnah-fitnah itu wujud pada setiap zaman dan berterusan hingga kiamat. Hakikat ini telah diperingatkan terlebih dahulu oleh al-Quran dalam beberapa firman-Nya:
الذي خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملا ( الملك: 2)
Terjemahan: Allah telah menciptakan hidup dan mati untuk menguji siapa diantara kamu lebih baik amalannya.
وبلوناهم بالحسنات واليئات لعلهم يرجعون (الأعراف: 168)
Terjemahan: Dan Kami menguji mereka dengan kebaikan dan keburukan supaya mereka kembali kepada kebenaran.
ونبلوكم بالخير والشر فتنة والينا ترجعون (لأنبياء: 35)
Terjemahan: Dan kami uji kamu dengan kebaikan dan kejahatan sebagai ujian yang menentukan nasib kamu selepas diuji.
Dua hadith fitan sebagai contoh pengawalan
Fitnah yang menyeluruh dalam kehidupan di dunia ini bukan tajuk yang ingin kita bicara di sini pada waktu ini, tetapi bicara kita tertumpu kepada fitnah-fitnah besar pada akhir zaman atau fitnah al-mustaqbal yang dimaksudkan di dalam hadith Hudhayfah ibn al-Yaman r.a yang tidak diketahui takwilannya oleh Saidina ‘Umar r.a hingga mendorong beliau untuk bertanya Hudhayfah tetapi disembunyikannya kerana kebimbangan berlaku fitnah. Hudhayfah bin al-Yaman ialah seorang Sahabat Nabi yang diberi jolokan Sahib Sirr Rasul Allah SAW fi al-Fitnah, satu gelaran yang tidak ramai Sahabat-sahabat Nabi yang layak menyandang gelaran itu. Kemusykilan yang diminta Saidina ‘Umar ibn al-Khattab r.a agar diperjelaskan itu adalah mengenai fitnah yang bergelombang seperti gelombang di lautan الفتنة التي تموج كموج البحر Di sini izinkan saya mengemukakan dua hadith riwayat Hudhayfah yang meriwayatkan hadith fitan dan secara tidak langsung menjelaskan bagaimana beliau menangani hadith fitan yang menjadi rahsia kepada beliau.
Hadith pertama
Berkata Hudhayfah:
كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الخَيْرِ، وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ، مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ، فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الخَيْرِ، فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟ قَالَ: نَعَمْ قُلْتُ: وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ: وَمَا دَخَنُهُ؟ قَالَ: قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي، تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ: فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟ قَالَ: نَعَمْ، دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ، مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا، قَالَ: هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ: فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ؟ قَالَ: تَلْزَمُ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلاَ إِمَامٌ؟ قَالَ: فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الفِرَقَ كُلَّهَا، وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ، حَتَّى يُدْرِكَكَ المَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ.
[البخاري/الفتن/كيف الأمر اذا لم تكن جماعة/ رقم: (6708)، مسلم/كتاب الايمان/ باب الفتن التي تموج موج البحر/ رقم (2460) عن حذيفة بن اليمان]
Terjemahan: Orang ramai bertanya Nabi SAW tentang kebaikan, sedang aku bertanya baginda tentang keburukan kerana aku takut kejahatan itu menimpa diriku. Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, kami telah melalui zaman jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mengurniakan kami kebaikan (Islam). (Kami ingin tahu) “Apakah selepas kedatangan kebaikan (Islam) ini akan datang lagi keburukan (jahiliyyah)?” Rasulullah SAW bersabda, “Ya.” Aku bertanya lagi, “Apakah selepas keburukan(jahiliyyah) itu kebaikan (Islam) akan datang kembali?” Rasulullah SAW bersabda, “Ya, tetapi ada sedikit kabur (tidak terang).” Aku bertanya lagi, “Apa sebab kekaburan itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Kekaburan itu adanya disebabkan adanya kaum yang tidak melaksanakan sunahku dan tidak berpedoman pada petunjukku. Ada yang kamu memandang baik perbuatan mereka ada pula yang kamu memandang buruk.” Aku bertanya lagi, “Apakah selepas kebaikan itu ada lagi keburukan?” Rasulullah SAW bersabda, “Ya, ada lagi keburukan selepas itu, iaitu adanya kaum yang menyeru di pintu-pintu (masuk neraka) jahanam, siapa yang menyahut seruan mereka akan dicampak ke dalamnya.” Aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, jelaskan kepada kami sifat-sifat keperibadian mereka.” Rasulullah SAW bersabda, “Orang-orang itu sama kulitnya, mereka berbicara juga sama dengan bahasa kita.” Aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, apa saranan anda andainya aku menemui mereka?” Rasulullah SAW bersabda, “Tetapkan diri anda bersama-sama jemaah muslimin dan pemimpin mereka.” Aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, bagaimana jika tiada jemaah dan tiada juga pemimpin umat Islam?” Rasulullah SAW bersabda, “Tinggalkan semua kumpulan manusia, sekalipun anda terpaksa itu meski menggigit akar pokok kayu sampai anda mati sedang anda tetap mempertahankan prinsip anda.”
Hadith kedua
Berkata Hudhayfah:
كُنَّا عِنْدَ عُمَرَ، فَقَالَ: أَيُّكُمْ سَمِعَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ الْفِتَنَ؟ فَقَالَ قوْمٌ: نَحْنُ سَمِعْنَاهُ، فَقَالَ: لَعَلَّكُمْ تَعْنُونَ فِتْنَةَ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَجَارِهِ؟ قَالُوا: أَجَلْ، قَالَ: تِلْكَ تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَالصِّيَامُ وَالصَّدَقَةُ، وَلَكِنْ أَيُّكُمْ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ الَّتِي تَمُوجُ مَوْجَ الْبَحْرِ؟ قَالَ حُذَيْفَةُ: فَأَسْكَتَ الْقَوْمُ، فَقُلْتُ: أَنَا، قَالَ: أَنْتَ لِلَّهِ أَبُوكَ قَالَ حُذَيْفَةُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «تُعْرَضُ الْفِتَنُ عَلَى الْقُلُوبِ كَالْحَصِيرِ عُودًا عُودًا، فَأَيُّ قَلْبٍ أُشْرِبَهَا، نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ، وَأَيُّ قَلْبٍ أَنْكَرَهَا، نُكِتَ فِيهِ نُكْتَةٌ بَيْضَاءُ
[مسلم/ كتاب الايمان/ باب الفتن التي تموج موج البحر/ رقم (245) عن حذيفة بن اليمان]
Terjemahan: Huzayfah ibn al-Yaman r.a melaporkan: Ketika kami berada dalam majlis bersama-sama ‘Umar ibn al-Khattab r.a, beliau (‘Umar) bertanya: “Siapa di antara kamu pernah mendengar sabda Nabi SAW berkenaan fitnah? Sebahagian orang ramai menjawab, kami pernah mendengar sabda itu. Berkata ‘Umar: Mungkin fitnah yang anda maksudkan itu adalah fitnah seorang lelaki dalam keluarga dan jirannya. Jawab mereka: Ya, betul. Berkata ‘Umar: Fitnah itu boleh dihapuskan menerusi solat, puasa dan sedekah. Kalau begitu siapa lagi di antara anda yang mendengar sabda Nabi SAW tentang gelombang fitnah bagaikan gelombang ombak di lautan? Berkata Hudhayfah: Orang ramai semuanya terdiam. Lalu aku menjawab: Saya pernah mendengar sabda itu. Berkata ‘Umar: Bagus, bagus sekali anda. Berkata Hudhayfah: Saya dengar Rasulullah SAW bersabda: Dibentangkan fitnah di hadapan hati bagaikan tikar yang dibentang bidang demi bidang, mana-mana hati yang termakan fitnah itu, akan terkesan padanya bintik-bintik hitam. Mana-mana hati yang menolaknya akan terbintik padanya bintik-bintik putih.
Bahagian hadith fitan
Sejarah menyatakan perpaduan, kasih sayang dan persaudaraan Islam yang begitu tinggi nilainya dalam masyarakat Islam pertama di Madinah segera diikuti dengan permusuhan, dendam dan peperangan saudara. Jarak waktu di antara dua gejala yang bertentangan ini tidak jauh. Selama 30 tahun selepas kewafatan Rasulullah berlaku satu kejadian fitnah pembunuhan Khalifah ‘Uthman r.a yang dilakukan oleh seorang lelaki yang tidak siuman akalnya menyebabkan berlakunya fitnah peperangan yang mengakibatkan hancur sama sekali pintu rahmat dan kasih sayang yang selama ini dipupuk dengan persaudaraan Islam. Dalam peperangan ini ribuan Sahabat terbunuh yang membawa kepada runtuhnya sistem Khilafah yang digantikan dengan sistem pemerintahan monarki yang dipimpin oleh orang-orang muda yang bertindak mengikut pertimbangan nafsu sehingga mengatasi pertimbangan akal.
Selepas peperangan ulama mula mengambil sikap yang sangat tegas terhadap periwayat-periwayat hadith. Mereka tidak menerima sebarang riwayat tanpa sanad yang boleh dipercayai kesahihannya melalui syarat-syarat yang disepakati ulama dalam bidang al-jarh wa al-ta’dil. Di sini Muhammad bin Sirin menegaskan, katanya:
كَانُوا لا يَسْأَلُونَ عَنِ الإِسْنَادِ، فَلَمَّا وَقَعَتِ الْفِتْنَةُ، قَالُوا: سَمُّوا لَنَا رِجَالَكُمْ، فَنُنْظُرَ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ مِنْهُمْ، وَإِلَى أَهْلِ الْبِدْعَةِ فَلا يُؤْخَذُ مِنْهُمْ
[مقدمه صحيح الامام مسلم]
Terjemahan: Para Sahabat sebelum ini tidak bertanya tentang isnad hadith, tetapi setelah berlakunya fitnah (peperangan Siffin) mereka meminta supaya mengemukakan isnad hadith riwayat mereka. Lalu mereka menerima jika sanadnya baik dan mereka menolak jika sanadnya lemah (disebabkan mereka daripada kumpulan bid’ah).
Berkata Abdullah bin al-Mubarak:
إنَّ الإسْنَادَ مِنَ الدِّين، وَلَوْلا الإسنادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ
Terjemahan: Sesungguhnya isnad hadith sebahagian daripada agama, tanpa isnad orang bebas bercakap apa yang dia suka.
Berkata Ibn Sirin lagi:
إن هَذَا العِلْمَ دِينٌ فَانظُروا عَمَّن تَأَخُذُونَ دِينَكُم
Terjemahan: Sesungguhnya ilmu hadith ini agama, hendaklah kamu meneliti daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.
Tiga bahagian hadith fitan
Pertama, hadith-hadith fitan yang bertaraf da’if. Kesahihannya dipertikai para pengkritik, sanad-sanadnya tidak memuaskan para pengkritik, seperti Yahya bin Ma’in, Abdullah bin al-Mubarak, Abdul Rahman bin Mahdi, Ahmad bin Hanbal, Abu Zur’ah al-Razi dan lain-lain.
Kedua, hadith-hadith fitan yang diakui sahih oleh ulama yang terkenal di dalam bidang ini dan mereka menyiarkan hadith di dalam kitab-kitab sahih atau sunan mereka seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Jami’ al-Tirmidhi, Sunan al-Nasa’i, Sunan Ibn Majah, Muwatta’ Malik, Sahih Ibn Hibban, Sahih Ibn Khuzaymah, Mustadrak al-Hakim dan beberapa musnad yang selalunya meniti di bibir para ulama dan muhaddithin dan pengkaji-pengkaji sanad dan matan hadith.
Ketiga, hadith-hadith fitan yang sahih sanad dan matan, tetapi ia tidak disusun dengan sebaik-baiknya untuk disesuaikan dengan zaman ini. Bukan sahaja tidak disusun dengan baik, terpisah jauh di antara satu dengan yang lain menyebabkan ia sukar difahami.
Kaedah mengurus bicara hadith fitan
Kita tidak menyimpan sebarang keraguan terhadap keupayaan ulama kita di negara ini yang terdiri daripada para penyelidik, pengkaji, pendakwah, ilmuan dan pelajar-pelajar yang mempunyai kefahaman yang tinggi untuk menguruskan bicara hadith fitan dan mustaqbal yang ditunggu-tunggu kedatangannya. Kita juga tidak meragui di kalangan ulama kita ada yang mampu membimbing masyarakat ke arah jalan yang lurus dengan petunjuk Nabi SAW untuk menempatkan bicara mereka terhadap hadith fitan itu di bumi nyata sesuai dengan zaman yang sentiasa berubah, namun masih ada unsur-unsur negatif ketika sebahagian mereka menyampaikan khutbah, ceramah-ceramah di masjid atau ketika menyampaikan syarahan di media-media rasmi. Meskipun dalam kuliah dan ceramah-ceramah perdana sangat besar faaedahnya untuk masyarakat, namun masih ada salbiyyat dan kesalahan-kesalahan yang masih boleh diperbaiki.
Saya ingin menyentuhkan beberapa kesilapan yang mungkin tidak disedari tatkala membicarakan hal-hal yang berkaitan akidah, iaitu banyak berpegang kepada nusus atau teks-teks yang lemah atau mawdu’, mungkin faktor ini paling berbahaya kepada masyarakat Islam. Ini kerana program agama yang diterbitkan oleh televisyen dan akhbar dianggap rasmi sebagai sumber yang layak dipercayai masyarakat umum. Mungkin ada beberapa sebab kejadian seumpama itu berlaku, antaranya:
a. Ketiadaan upaya atau memandang remeh kepada perbezaan antara hadith sahih dan da’if, sekalipun ada pakar-pakar rujuk yang ikhtisas dalam bidang itu.
b. Sebahagian mereka ada yang berpegang kepada kitab-kitab yang tidak iltizam dengan hadith-hadith sahih dan tidak pula sedia merujuk kepada sumber-sumber yang boleh dipercayai.
c. Kerana beranggapan hadith-hadith da’if juga boleh dipakai sekalipun tidak mencakupi syarat-syarat dan panduan yang digariskan oleh ulama sebelum berurus bicara dengan hadith-hadith itu.
d. Sesetengah ulama lebih berminat dengan hadith-hadith da’if kerana lebih berkesan kepada orang awam dalam usaha menarik mereka kepada jalan Allah, padahal akibatnya boleh menjerumus mereka kepada bahaya yang lebih besar lagi.
e. Sesetengah mereka yang berminat kepada hadith da’if atau mawdu’ tidak menyedari kedudukan sebenar hadith berkenaan, padahal kedudukan hadith itu da’if jiddan atau lebih buruk lagi apabila orang ramai mempercayai hadith ini sahih.
f. Tidak berminat menyebutkan sumber riwayat dan menentukan darjat hadith fitan mustaqbal seperti pendetailan terhadap Harut dan Marut, a’juj dan ma’juj, dajal, dabat al-ard, imam Mahdi dan sebagainya. Lebih berbahaya lagi apabila hadith-hadith da’if diperkatakan sebagai sahih, padahal kajian masih mentah dan belum layak disiar kepada umum.
g. Tidak memberi perhatian yang lebih cermat kepada hadith sama ada sahih atau da’if. Tanpa membuat kritikan dengan jujur terhadap sanad dan matan hadith yang dikaji, keadaan seumpama ini sering kali berlaku kepada mereka yang gopoh kerana kesibukan atau tidak mempunyai masa yang cukup untuk merujuk kitab-kitab turath yang sepatutnya dirujuk.
h. Pembacaan menerusi jalan riwayat Israiliyyat yang tidak boleh dipercayai sepenuhnya.
i. Pembicara hadith fitan yang berminat dengan isu-isu ganjil dan pelik.
j. Pembicara hadith yang berminat mengumpul banyak hadith palsu, sedangkan pembicaranya tidak mampu menempatkan hadith berkenaan di bumi nyata.
Langkah-langkah penjernihan hadith fitan
Kewujudan hadith-hadith fitan yang lemah dan mawdu’ dalam masyarakat Islam di Malaysia dan penyebarannya yang tidak dikawal sama dengan penyebaran wang palsu yang sangat merugikan semua pihak. Justeru kerajaan sentiasa mengawasi aktiviti-aktiviti pemalsuan wang, pembersihan wang haram, perjudian, rasuah, menipu, pecah amanah dan sebagainya. Kita faham semua ini.
Tetapi kita masih menunggu jawapan mengapa hadith-hadith palsu terutama hadith fitan melambak disebarkan oleh orang yang bergelar ulama di mana-mana sahaja mereka pergi untuk menjalani tugas mereka memelihara kesucian Islam. Oleh itu, langkah-langkah awal yang perlu disegerakan adalah:
1. Meningkatkan keupayaan pendakwah dengan memperbanyakkan pengajian hadith dan ulum al-hadith riwayah dan dirayah bagi jangkamasa yang cukup dan memberi sijil khas kepada mereka yang layak mengembangkan pengajian ini.
2. Menubuhkan klinik-klinik khas untuk merawat penyakit tidak kenal hadith di kalangan umat Islam. Langkah ini meskipun sukar, namun keperluannya sangat mendesak dan hampir mengancam kesejahteraan akidah umat Islam.
3. Mempastikan kesahihan sanad dan matan. Langkah ini khusus kepada para ulama yang mampu merujuk kepada kitab-kitab tertentu. Mungkin juga perlu ada pembimbing yang mempunyai kepakaran ikhtisas dalam bidang ini.
4. Mempastikan kesahihan lafaz hadith. Ini kerana kesahihan lafaz hadith menentukan kesahihan makna.
5. Mencari-cari terjemahan yang lebih tepat dengan lafaz hadith supaya terjemahan tidak mengelirukan erti sebenar hadith.
6. Meletakkan hadith pada tempat yang betul dengan hujah yang kuat dan sahih serta merujuk pemikiran pakar.
7. Rangkaian hadith juga boleh membantu kefahaman yang betul dan sesuai dengan hadith. Seringkali kita temui hadith yang sama berada dalam bab yang berbeza dalam kitab yang sama. Dalam Sahih al-Bukhari banyak berlaku kejadian seumpama ini. Peminat Sahih al-Bukhari menjawab: ‘فقه فقه البخاري في تراجمه Fiqh al-Bukhari fi Tarajimih.
8. Melihat hadith pada keseluruhan, tanpa mengkhusus kepada juzuk-juzuk tertentu dalam teks.
9. Untuk mendapat penjelasan tambahan, jika didapati penjelasan di dalam al-Quran, maka penjelasan al-Quran hendaklah dianggap sebagai memadai.
10. Menyelidik jalan-jalan riwayat yang sama. Mungkin di sana anda akan dapati bonus sedang menunggu.
تلك عشرة كاملة، والحمد لله بنعمته تتم الصالحات
Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor
Alhayy47@gmail.com
Pembentangan di ILIM
pada 25/9/2018
No comments:
Post a Comment