Saturday, 22 July 2017

..bila khilaf 2

Khilafiyyah: Siapa Yang Wajar Terlibat?

Perbincangan khilafiyyah perlu melibatkan sesama Para Agamawan. Jangan libatkan masyarakat awam, kerana ia membinasakan.

Apakah seruan ini menyekat perkembangan ilmu kepada masyarakat? TIDAK. Tetapi menyekat kerosakan dalam masyarakat, disebabkan masyarakat tiada kelengkapan untuk berkecimpung dalam perbahasan dan perbincangan tersebut.

Sebagaimana jurulatih renang melarang orang ramai berenang di lautan, bukan menyekat mereka daripada berenang, tetapi kerana mereka tidak berkemampuan dan tidak layak untuk berenang di lautan. Sedangkan berenang pun tidak pandai, tergamakkah jurulatih mengajak orang yang tidak pandai berenang berenang di lautan?!

Andai jurulatih renang itu jujur untuk mengajar dan melatih masyarakat berenang, maka jurulatih renang akan mengajar secara bertahap sehingga pandai berenang. Bermula dari kolam yang cetek dan peringkat seterusnya. Namun pandai berenang sahaja tidak cukup, kerana berenang di kolam renang jauh bezanya dengan berenang di lautan. Justeru, untuk berenang di lautan perlu ilmu-ilmu tambahan yang wajib dipelajari dan dipenuhi oleh pelajar tersebut.

Sekiranya jurulatih renang itu tidak mengajar cara berenang, namun terus mahu mengajak pelajarnya berenang di lautan, Wallahi jurulatih itu bukan mahu mengajar kamu berenang, tetapi mahu MEMBUNUH kamu!

Demikian juga dengan agamawan yang mengajar khilafiyyah kepada pelajar yang buta Bahasa Arab, Usul Fiqh, Adab Ikhtilaf, Usul Mazhab dan lain-lain ilmu alat, Wallahi agamawan itu bukan mahu memandaikan masyarakat tetapi mahu 'membunuh' masyarakat. Mereka membunuh masyarakat dengan kekeliruan dan kebingungan. Membunuh keinginan masyarakat untuk kembali kepada Islam secara harmoni.

Bagi masyarakat pula, ukurlah kemampuan diri sendiri. Masuklah ke rumah 'perbincangan fiqh' melalui tangga dan pintunya. Bukan melalui tingkap, tebuk dinding dan seumpamanya... Kita mampu menjadi salah seorang yang layak menyertai dan memahami perbincangan fiqh yang halus dengan lebih harmoni sekiranya kita mengikuti tangga dan pintu yang betul.

Ingatilah pesanan para salaf.

1. Imam Sufyan bin 'Uyainah berkata:
الحديث مضلة إلا للفقهاء "
"Hadis itu menyesatkan melainkan kepada para Fuqaha'."

2. Imam 'Abdullah bin Wahb berkata:
قال عبد الله بن وهب:"الحديث مضلة إلا للعلماء"
 Hadis itu menyesatkan melainkan kepada para Ulama'.

 لولا أن الله أنقذني بمالك والليث لضللت" قيل له:"كيف ذلك?" قال:"أكثرت من الحديث فحيرني"
Kalaulah Allah tidak selamatkan aku melalui Malik dan al-Laith, nescaya aku telah sesat'. Dia ditanya: Bagaimana boleh berlaku begitu?. Jawabnya: Aku temui banyak hadis yang membuatkan aku bingung.

 كل صاحب حديث ليس له إمام في الفقه فهو ضال و لولا أن الله أنقذني بمالك والليث لضللت"
Setiap ahli hadis yang tidak mempunyai Imam dalam Fiqh,maka dia sesat. Kalaulah Allah tidak selamatkan aku melalui malik dan al-Laith, nescaya aku sesat.

Wallahu a'lam..

No comments: