Sunday, 5 November 2017

Kuliah maghrib

TIDAK SEMUA ILMU BERMANFAAT…

Seringkali kita mendengar seruan mempelajari itu dan ini dengan alasan ilmu…Lalu tarian joget, falsafah-falsafah menyimpang, hakikat-makrifat juga di”ilmu”kan seakan sebaris dengan ilmu yang dijanjikan kemudahan laluan ke syurga buat penuntutnya…
Begitu juga barangkali kita ghairah bertanya itu dan ini, sedangkan pertanyaan tersebut tidak memberi manfaat kepada amalan kita sedikit pun…
Kita juga seakan ghairah mempelajari pelbagai kesenian ilmu, sedangkan iman kita tidak sedikit pun bertambah dengan banjiran ilmu melimpah yang kita tadah…Tidaklah pula agama Islam dan umatnya bertambah gagah…

Justeru Nabi SAW selalu memohon dan berdoa:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ
Yang bermaksud: “Ya Allah, sungguh aku berlindung dengan-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat…” [Riwayat Muslim].
Kerana ilmu yang tidak bermanfaat hanya membawa mudarat pada tuannya di akhirat…
Ilmu yang tidak bermanfaat hanya membuang masa, harta dan usia…
Sedangkan kesemua itu akan disoal Allah SWT kelak…
لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ، وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ
Mafhumnya: “Sentiasalah kedua kaki hamba berada di situ (tidak berganjak) pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya: Bagaimana ia dihabiskan?
Tentang ilmunya: Apa yang diamalkannya?
Tentang hartanya: Dari mana ianya diperolehi? Ke mana ianya dibelanjakan?
Dan tentang tubuhnya: Pada apa ianya digunakan?” [Riwayat al-Tirmidziy].

Justeru Nabi SAW selalu memohon dan berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا
Mafhumnya: “Ya Allah, sungguh aku memohon kepada-Mu (agar dikurniakan) ilmu yang bermanfaat…” [Riwayat Ahmad].

Kerana tidak semua ilmu itu bermanfaat..!

No comments: