Tuesday, 13 February 2018

Kasihku...


Andainya dengan tawfiq Allah aku memiliki sekelumit kejayaan, maka wanita mulia ini adalah rahsia dan kunci segalanya.
Aku tidak pernah khuatir dengan sebarang ujian dan dugaan hidup andainya aku mempunyai doa wanita ini yang aku bersangka baik termasuk dalam golongan yang Allah mustajabkan doanya.

Wanita ini tidak pernah lupa untuk mendoakan aku berpuluh-puluh minit lamanya, bersungguh-sungguh meminta setiap hari, setiap waktu solat fardu dan sunatnya..
Aku terasa kuat dan tenang dengan doanya.

Sewaktu di alam bergelar pelajar saat aku ditanya rakan pada malam peperiksaan: “Kenapa nampak macam relaks je esok nak periksa?”, aku akan menjawab: “Apa nak risau, aku ada doa mak yang Allah pasti makbulkan” penuh keyakinan.

Ya, wanita yang menjadi rahsia kejayaan ini ialah insan teristimewa bergelar ibu yang telah berkorban segalanya melalui pelbagai keperitan hidup demi kebahagiaan anak-anaknya.

Walaupun pelbagai “luka” dan air mata yang telah beliau titiskan tika aku kepiluan dengan ujian rumahtangga atau sikapku menggurisnya namun wanita yang aku panggil sebagai "mak"  ini tidak pernah berputus asa dari doa dan bimbingan.

Namun jika doa seorang ibu telah dimakbulkan oleh Yang Maha Kuasa, siapakah lagi yang mampu menghalangnya??

Bagi yang masih memiliki "rahsia" ini, hargailah ia dan janganlah lupa memanfaatkannya selagi kita dan dia masih bernyawa.
Kelak apabila dia sudah tiada, segala penyesalan sudah tiada guna.
Barangkali kejayaan juga "terbang" entah ke mana...

No comments: