Monday, 30 April 2018

Nasihat ulama

SURAT TERBUKA KEPADA ANAK-ANAK PEMIMPIN YANG MENINGGALKAN PERJUANGAN AYAH

Kamu juga seperti anak-anak saya,

Selamat bersama bahtera PAS dan Gagasan Sejahtera. Bacalah Al-Quran, jangan baca Facebook sahaja.

Al-Quran mengisahkan anak Nabi Nuh A.S yang memperlekehkan bahtera ayahnya dan lebih yakin kepada bukit yang dapat dilihat gagah boleh menyelamatkannya daripada taufan terbesar, maka bahtera ayahnya ditinggalkan.

Sepatutnya anak-anak pemimpin PAS tidak bersama bahtera Pakatan Harapan (PH) yang menjadi nakhodanya Tun Mahathir dan pembantunya yang menebuk bahtera Barisan Nasional (BN) sehingga menjadi bocor dimasuki air dan juga sangat membahayakannya. Maka PAS tidak bersama BN dan tidak juga PH.

Apa yang menarik bahtera PH mengumpulkan kumpulan DAP yang anti Islam secara terbuka. Pemimpin utamanya pula pemikir pemutar alam yang dilihat bijaksana tanpa bijaksini, lebih memenangkan akal terhadap nas Al-Quran dan tidak yakin kepada Kitab-kitab Hadis seperti Sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain, serta tidak percaya kepada para ulama dalam perkara politik.

Bersama PH juga adalah kumpulan Islam Liberal dan pengamat politik yang tidak matang dan sejahtera. Mereka semata-mata mahu melompat ke Putrajaya dan pernah terpaksa berpatah balik melompat ke Kajang yang menjadikannya makin jauh daripada Putrajaya.

Kajian politiknya mengira di atas kertas dan memegang telefon bimbit secara mudah, bukannya dirujuk betul di atas lapangan rakyat secara terperinci.

Penasihat Gerakan Islamnya pula daripada Arab yang berbahasa Al-Quran tetapi tidak matang menterjemahkan politik Islam dalam Bahasa Malaysia dan berpijak di buminya.

Ada kalangan yang hanya menarik kepada perkataan Arabnya seperti Tarbiyah, Wala’, Baiah dan lain-lain tanpa mendalami di mana bumi yang dipijak dan masyarakat yang berbeza. Tidak memahami betapa generasi awal membaharukan dan mengubah baiah di tempat dan masa yang berbeza. Tidak memahami bahawa gerakan tajdid dahulu tidak lagi menjadi tajdid terkini setelah berlalu masa setengah abad, jarak negara yang jauh dan masyarakatnya juga berlainan.

Diterima pakai juga penasihat bukan Islam dan makhluk negara asing yang tidak berniat ikhlas terhadap Islam dan negara kita yang tercinta ini. Mereka hanya menjadikan kita catur permainan politiknya.

Akhirnya menubuhkan parti sendiri yang tidak memimpin bersama Islam tetapi dijadikan laksana melukut di hujung gantang. Kalau menang tidak bermaya, kalau kalah ditelan gelombang.

Saya bacakan untuk semua firman Allah:

قُلْ إِنَّمَا أَعِظُكُم بِوَاحِدَةٍ ۖ أَن تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنَىٰ وَفُرَادَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا ۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ لَّكُم بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ (46)

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain yang akrab), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku)". Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di Akhirat).” (Surah As-Saba’: 46)

العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب

“Pengajaran yang diambil daripada sesuatu ayat adalah berdasarkan maknanya yang umum bukan semata-mata bergantung kepada sebab penurunannya yang khusus.”

Beberapa orang yang berusia yang bersama Hasan Al-Banna dan Al-Maududi, masih hidup panjang usianya hanya mengeluh kepada saya. “Apa nak dibuat?”. Jawab saya: “Selamatkan sekadar yang dapat”.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Syaaban 1439 / 30 April 2018

https://berita.pas.org.my/surat-terbuka-kepada-anak-anak-pemimpin-yang-meninggalkan-perjuangan-ayah/

No comments: