Saturday, 9 June 2018

Depresi

Copy n paste

Pernah saya berbual dengan seorang waris kepada pesakit depresi. Katanya, letih menjaga pesakit yang tak mahu nak sihatkan diri. Asyik murung memanjang sehingga menyusahkan orang lain.

Saya tanya waris ni, "Andainya pesakit ni menghidap kanser dan sakitnya bertahun², kamu merungut tak?"

Waris terdiam. Kemudian menjawab:

"Sakit kanser nampak, murung tak nampak. Kalau sakit kanser, tahu bahayanya mati. Murung tak."

Alhamdulillah, inilah peluang saya untuk memangkah hujahnya.

"Puan. Ini pengalaman saya sendiri. Saya disahkan menghidap kanser, tahun 2007. Kanser ya puan. Jenis yang agresif. Doktor bagi masa setahun. Sekarang dah 11 tahun, saya masih ada.

Adik saya tidak dibawa ke pakar untuk check penyakit kemurungannya walaupun kami dah nampak tanda² tu. Masalahnya kami tak tahu dia kemurungan. Kami TAK TAHU. Ketika itu tahun 2010.

Selang beberapa minggu, dia pergi.
Bulan Rejab 14 Jun. Pemergiannya diiringi penyesalan seorang kakak yang tak faham apa itu depresi, dan kesedihan ibu yang kehilangan anak secara tiba-tiba."

Kakak yang menghidap kanser, masih lagi bernafas dan boleh beraya bersama mak tahun ini InsyaAllah. Adik pula dijemput untuk bersama Yang Maha Esa kerana kami di sini gagal memahami penyakitnya.

....

Tuan puan. Depresi juga membawa maut. Malah ia lebih bahaya daripada kanser kerana penyakit ini menyebabkan kawan² menyisihkan diri, waris membenci dan masyarakat tak peduli.

....

Manusia memerlukan hubungan sosial dalam apa jua situasi. Usahlah dipulaukan pesakit, dihalau dengan ayat "solat lebih sikit". Cubalah Tanya, Dengar, Faham. Itu yang pesakit perlu.

Kenapa ya kamu sanggup mengumpulkan rakan² untuk membuat solat hajat bagi sahabat yang sedang bertarung kanser, tetapi menghilangkan diri apabila tahu sahabat lain bergelut dengan depresi?

Bila sahabat yang kemurungan itu akhirnya tewas dan pergi, maka keluarlah eulogi. Naikkan post konon bersedih dan menyesal tak memahami penyakit yang dilalui.

....

Ibu yang depressed, boleh letak anak² ke liang lahad (kes di SP, si ibu kelar leher 2 anaknya). Ayah yang kemurungan, boleh cederakan ahli keluarganya dalam sekelip mata (kes di Bangi, anak dibunuh dan ada yang dicederakan). Anak kecil yang depressed, mampu membunuh dirinya sendiri (kes anak 12 tahun yang menggantung dirinya beberapa tahun lepas di Masai).

Masih rasa penyakit kemurungan tidak bahaya?

By zeeda aziz

No comments: