Tuesday 28 May 2013

my precious children..

Wahai anakku,

Ingatlah Allah membuat dunia ini berputar. Ketika burung hidup, semut adalah makanannya. Tapi apabila burung mati, semut memakannya pula. Sebatang pokok boleh dijadikan berjuta mancis. Tapi hanya sebatang mancis untuk membakar berjuta pokok.

Wahai anakku,
... Keadaan boleh berubah dalam sekelip mata... jangan sesekali menyusahkan atau melukakan seseorang di hidup ini. Ingatlah engkau mungkin berkuasa hari ini tapi masa adalah lebih berkuasa daripada engkau.

Sunday 26 May 2013

ulama berhujjah tentang muzik

HUJJAH ULAMA YG MEMBENARKAN MUZIK / ALAT MUZIK

Terdapat sebahagian ulamak yang mengharuskan alat-alat nyanyian atau muzik. Dr. Wahbah menyebut bahawa Imam Malik, az-Zohiriyyah dan sekumpulan ulamak sufi mengharuskan mendengar nyanyian walaupun bersama-sama dengan alat muzik seperti al-‘ud (alat muzik bertali seperti gitar dan seumpamanya) dan lainnya. Inilah pendapat sekumpulan para sahabat seperti Ibnu Umar, Abdullah bin Ja’afar, Abdullah bin az-Zubair, Mu’awiyyah, Amru bin al-‘As dan lain-lain. Begitu juga pendapat sebahagian tabi’ien seperti Said bin al-Musayyab.

Antara ulamak yang mengharuskan muzik juga ialah As-Syeikh Mahmud Syaltut. Beliau telah menjelaskan dalam fatwanya Al-Fatawa Dirasah li Musykilat al-Muslim al-Mu’asir fi Hayatihi al-Yaumiyyah wa al ‘Ammah di mana katanya:
“ Mendengar alat-alat bunyian yang ada irama dan suara yang merdu tiada boleh dihukumkan haram sebagai ia suara alat atau suara manusia atau suara binatang. Hanya haram itu apabila digunakan pada perkara haram atau digunakan untuk tujuan haram atau ia melalaikan daripada perkara yang wajib pada syara’ ”.

Selain itu, Dr. Ahmad as-Syarbashi juga menghimpunkan segala fatwa ulamak dalam kitabnya Yas’alunaka ‘an ad-Din wa al-Hayah dalam perkara mendengar muzik dan nyanyian. Daripada perbincangannya itu dapat disimpulkan bahawa beliau berpendapat, fatwa al-‘Allamah as-Syeikh Mahmud Syaltut itu adalah pendapat pertengahan yang adil di antara ulamak yang mengharamkan dan ulamak yang mengharuskan dalam perkara muzik dan nyanyian itu.

Al-‘Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi menegaskan dalam kitabnya Idhoh ad-Dilalat fi Sama’i al-Alat -(Menjelaskan dalil-dalil dalam masalah yang berkait dengan hukum mendengar alat-alat muzik) - bahawa hukum haram segala bentuk alat muzik yang disebutkan dalam hadis bukanlah disebabkan alat-alat muzik itu sendiri atau suara dan bunyian yang terhasil daripadanya. Kalaulah dihukumkan dengan sebab yang demikian, maka sudah tentulah bunyi-bunyian yang merdu seperti suara burung juga termasuk dalam hukum haram. Sedangkan ulamak telah bersepakat bahawa suara kicauan burung dan seumpamanya itu tidaklah dihukum haram. Bahkan mengguna dan mendengar alat-alat muzik dihukum haram adalah disebabkan faktor-faktor luar yang haram yang beserta dengannya dan juga yang membawa kepada “al-Lahwu”. Menurut beliau “al-Lahwu” ialah perkara-perkara yang dengannya menyebabkan manusia lalai daripada melakukan ketaatan dan menunaikan kewajipan kepada Allah serta membawanya kepada melakukan perkara-perkara yang haram dan dilarang oleh syariat.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa sesiapa yang memerhatikan semua hadis yang datang daripada Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam mengenai alat-alat muzik ini, dia akan mendapati larangan-larangan tersebut dikaitkan dengan menyebut ‘ al-Malahi ’ – iaitu perkara-perkara yang melalaikan - dan juga menyebut tentang arak, penyanyi-penyanyi perempuan yang mendedahkan aurat, perkara-perkara keji dan kefasikan bersamanya. Ini bermakna ia dihukum haram dengan sebab perkara-perkara haram tersebut bukannya alat muzik itu sendiri. Hadis-hadis yang tidak menyebutkan perkara-perkara tersebut adalah hadis-hadis Ahad yang tidak boleh dithabitkan hukum dengannya secara qot’ie (putus dan muktamad). Bahkan hadis-hadis yang bersifat mutlak (umum) ini, dikhususkan oleh hadis-hadis yang menyebut tentang perkara-perkara haram yang mengiringi permainan muzik. Dengan itu, maka hadis-hadis yang menyebut tentang pengharaman alat-alat muzik hendaklah dilihat dalam konteks bahawa ianya disertai dengan perkara-perkara haram dan boleh menyebabkan kelalaian kerana di sana terdapat hadis yang melarang bermain muzik dikaitkan dengan perkara tersebut.

Beliau juga mensyaratkan tujuan dan niat yang baik walaupun tidak disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan ketika bermain muzik dan mendengar nyanyian yang diharuskan. Niat memainkan peranan. Sekiranya dia mempunyai niat atau cita-cita yang tidak baik melalui alat muzik yang dimainkan serta nyanyian harus yang didengarinya seperti bercita-cita atau berkhayal meminum arak, berfoya-berfoya dan berseronok dengan perempuan ketika bermain muzik dan mendengar lagu itu atau dia mahu kalau boleh perkara tersebut ada dalam majlis tersebut, maka hukumnya adalah haram juga. Peranan niat yang membawa kesan kepada hukum harus dan haram ini samalah seperti peranan niat ketika membaca al-Quran bagi mereka yang berada dalam keadaan berhadas besar. Jika dia berniat membaca al-Quran maka hukumnya adalah haram dan jika berniat zikir maka hukumnya adalah harus. Begitu juga seseorang yang minum air teh dengan niat minum arak dan juga seorang suami yang bersetubuh dengan isteri dalam keadaan dia niat menggauli atau menggambarkan isterinya itu adalah perempuan tertentu yang bukan isterinya maka kedua keadaan tersebut, hukumnya adalah haram.

Pendapat Al-‘Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi ini turut dipersetujui oleh al Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa sebagaimana tersebut dalam kitabnya Fatawa Mustofa az-Zarqa. Bahkan beliau turut memperakui bahawa kitab karangan Al-‘Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi tersebut adalah sebagai rujukan terbaik dalam mengetahui hukum yang berkait dengan masalah alat-alat muzik. Dalam kitab Fatawanya juga, al-Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa telah menukilkan pandangan al-‘Allamah Ibnu ‘Abidin r.a. dalam Hasyiahnya, syarah kepada kitab Raddu al-Mukhtar di mana nas kata-katanya ialah:

“Aku berpendapat: Ini semua memberi maksud bahawa alat-alat muzik itu bukanlah haram kerana alat muzik itu sendiri, tetapi ia di sebabkan al-lahwu (iaitu disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan daripada menunaikan tanggunggjawab dan kewajipan kepada Allah). Hukum ini sama sahaja sama ada orang yang mendengarnya atau bermain menggunakannya ”. Beliau seterusnya menegaskan “ Apakah kamu tidak lihat bahawa hukum bermain alat muzik itu, kadang-kadang harus dan kadang-kadang dihukum haram. Ini semua adalah disebabkan perbezaan niat dan tujuan mendengarnya. Dan sesungguhnya setiap perkara itu adalah berdasarkan kepada tujuan dan niatnya ”.

Di antara ulamak mutakhir di zaman kita ini yang sependapat dengan golongan ulamak yang kedua ini ialah as-Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhowi sebagaimana dijelaskan dan dihuraikan dengan pangjang lebar dalam kitabnya Malamih al-Mujtama’ al-Muslim Allazi Nansyuduhu - ( Ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang kita idamkan) - dan juga al Halal wa al-Haram fi al-Islam - ( Halal dan haram dalam Islam ). Dalam huraian tersebut beliau telah menolak hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh golongan yang mengharamkan alat-alat muzik dengan menyatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai alat-alat muzik adalah dipertikaikan kesahihannya.

Sekalipun terdapat hadis-hadis yang menjadi hujjah kepada golongan yang mengharamkan alat-alat muzik, disebutkan di dalam kitab Sahih al-Bukhari tetapi ia termasuk dalam kategori “ al- Mu’allaqat” bukan termasuk dalam kategori hadis yang sanadnya bersambung. Pada sanadnya terdapat seorang perawi Hisyam bin Ibn ‘Ammar yang dipersoalkan oleh sebahagian ahli hadis. Abu Daud berkata tentangnya: Beliau meriwayatkan empat ratus hadis yang tidak mempunyai sebarang sandaran. Imam Ahmad berkata: Dia tidak teliti dan lemah akal. Al-Hafiz az-Zahabi pernah berkata mengenainya: Beliau jujur dan banyak riwayat, namun ada perkara yang tidak disenangi tentangnya. Selain daripada dipertikaikan kesahihannya, pendalilannya juga dipertikaikan. Ini kerana perkataan al-ma’azif sebagaimana dalam hadis tersebut belum ada persepakatan tentang maknanya secara tepat. Menurut sebahagian orang ia bermaksud “ permainan-permainan ”. Ini sangat umum. Ada juga yang mengatakan ia bermakna “ alat-alat muzik ”.

Selain itu, hadis itu juga tidak mempunyai makna yang jelas tentang pengharamannya kerana ungkapan ( يستحلون –yang diterjemahkan dengan makna mereka menghalalkan ) dalam hadis itu mempunyai dua makna sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-‘Arabi. Makna pertama ialah dengan makna hakiki bukan majazi iaitu mereka beriktikad bahawa perkara tersebut adalah halal. Makna kedua: ia adalah kiasan (majaz) yang bermaksud bermudah-mudah menggunakan perkara tersebut. Beliau juga telah menegaskan bahawa hadis ini adalah menjelaskan tentang perilaku sekelompok manusia yang tenggelam dalam kemewahan, kefoyaan dan arak. Mereka dikelilingi oleh arak dan wanita, permainan dan nyanyian serta zina dan sutera. Oleh itu kita dapati Ibn Majah meriwayatkan hadis ini dari Abu Malik al Asy’ari dengan lafaz yang bermaksud:

“Akan ada di kalangan umatKu yang akan meminum arak yang dinamakan dengan nama lain. Kepala-kepala mereka dipenuhi dengan alat-alat muzik dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan memasukkan mereka ke dalam tanah dan akan menggantikan rupa mereka dengan rupa kera dan babi ”.

Perkara yang sama juga telah diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dan al-Bukhari dalam kitab Tarikhnya. Setiap mereka yang meriwayatkan hadis inibukan melalui Hisyam Ibn ‘Ammar meletakkan ancaman itu ke atas orang yang meminum arak dan bukannya pada alat-alat muzik tersebut. Alat-alat muzik tersebut hanya dijadikan sebagai penyempurna dan yang mengikuti mereka.

blossom love..

Words could never explain how I feel about you, but I hope you know that I truly Love You two! Ya Rabb.. may You continue shower upon them with your blessings and care..Allahumma ameen ya Rabb