Tuesday, 6 October 2015

...hikmah dariNya

Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut. Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup, yang lain akan terbuka tapi lazimnya kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama hinggakan kita tidak nampak pintu yang telahpun dibukakan untuk kita. 
Kawan yang paling baik ialah seseorang yang anda boleh duduk di dalam buaian dan berbuai bersama tanpa berkata apa-apa pun dan kemudian berjalan pulang dengan perasaan bahawa itulah perbualan yang paling hebat yang pernah dialami. Memang benar yang kita tidak akan tahu apa yang telah kita punyai sehinggalah kita kehilangannya dan juga benar bahawa kita tidak tahu apa yang kita rindukan sehinggalah 'ia' datang. Memberi seseorang seluruh cinta anda bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai anda kembali! Jangan harapkan cinta sebagai balasan. Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati anda. Ia cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang. 
Jangan pandang kepada kecantikan kerana boleh jadi ianya palsu. Jangan kejar kemewahan kerana ianya akan susut. Carilah seseorang yang membuatkan anda tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram. Carilah yang membuatkan hati anda tersenyum. 
 Akan tiba satu ketika di dalam kehidupan apabila anda teramatkan rindukan seseorang sehingga anda ingin menggapainya dari mimpi anda dan memeluknya dengan sebenar. Mimpilah apa yang ingin anda mimpikan, pergilah ke mana-mana yang ingin anda tujui dan jadilah apa yang anda inginkan kerana anda hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin anda lakukan. 
Semoga anda memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri anda menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan anda kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan anda adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan anda bahagia. Selalu bayangkan diri anda di dalam kasut seseorang. Jika anda rasa ianya menyakitkan anda, fikirlah ia mungkin menyakitkan orang lain juga.
 Kebahagiaan seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik. Mereka hanya membuat yang terbaik dalam hampir apa saja yang datang di dalam perjalanan hidup mereka. Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba. Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka. 
Cinta bermula dengan senyuman, mekar dengan ciuman dan berakhir dengan tangisan. Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan yang lalu yang telah dilupakan.
 Anda tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga anda melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam. Semasa anda dilahirkan, anda menangis dan orang di sekeliling anda tersenyum. 
Teruskanlah hidup anda supaya apabila anda mati nanti, andalah yang akan tersenyum dan orang sekeliling anda pula yang akan menangis. Kahwinilah orang yang lebih mencintai diri kita daripada kita mencintai diri orang itu. Itu lebih baik daripada mengahwini orang yang kita cintai tetapi tidak menyintai diri kita kerana adalah lebih mudah mengubah pendirian diri sendiri daripada mengubah pendirian orang lain.

Sunday, 16 August 2015

Monday, 20 October 2014

ulama yg bagaikan anjing

ULAMA YANG BAGAIKAN ANJING
Dalam kesibukan membincangkan isu sentuh anjing, kita jangan lupa ada isu yang lebih besar yang dibangkitkan oleh al-Quran berhubung dengan anjing, iaitu ULAMA YANG BERSIKAP BAGAIKAN ANJING. Ini al-Quran sebut dalam Surah al-A'raf ayat 175-176.
Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti ANJING, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).
Ayat ini menceritakan perihal kisah seorang ilmuwan agama yang meninggalkan ajaran Allah semata-mata kerana keinginannya kepada dunia. Riwayat-riwayat Israiliyyat menyebut nama orang tersebut ialah Bal'am.
Apa yang penting, ayat ini telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah hanya untuk kepentingan dunianya sama seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopah dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah.
Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya. Demikian ilmuwan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari yang lain habuan yang lain. Pelbagai fatwa mengampu dikeluarkan. Jika pihak yang diampu membuat salah, dia mencari dalil menjustifikasikannya. Jika musuh pihak yang diampu membuat salah, dia mencari puluhan dalil yang memasukkan mereka ke dalam neraka. Jika pihak yang diampu itu betul, berlebih-lebihan dia memuji dengan segala dalil agama. Jika musuh pihak yang diampu betul, dia cuba mencari dalil agama untuk melihat kelemahan dari sudut yang lain.
Maka Allah menjanjikan bagi ulama yang menyembunyikan kebenaran balasan yang dahsyat. Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).
Ya! ulama itu bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa. Namun walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T. Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia.
Menjadi mat rempit, atau perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat. Maka al-Quran menyamakan ulama yang memutarkan kebenaran itu seperti anjing yang menjelirkan lidah.

Saturday, 27 September 2014

hukum mengkritik tulisan imam al-Ghazali



Soalan: Dr Asri, saya ingin bertanya soalan tentang kedudukan mereka yang tidak menghormati Imam al-Ghazali dan kitab beliau Ihya ‘Ulum al-Din. Ini seperti mereka yang menyatakan dalam Ihya Ulum al-Din ada hadis yang tidak sahih atau pandangan yang tidak tepat. Patutkah perkataan mereka ini. Tidakkah ini tidak menghormati ulama Islam? Harap Dr Asri dapat berikan pandangan dan siarkan kepada orang awam.

Haji Ibrahim, Ipoh.

JAWAPAN DR MAZA:

Terima kasih atas soalan yang dikemukakan. Tuan, dalam nas-nas al-Quran dan Sunnah, juga suri teladan yang ditunjukkan oleh golongan salafussaleh, kita semua disuruh menghormati para ulama dan golongan yang soleh dalam kalangan umat ini. Mereka yang kita kasihi itu ialah insan-insan yang berjasa dalam mempertahankan Islam dan menyebarkan dakwahnya. Kita percaya al-Imam al-Ghazali termasuk dalam kalangan mereka. Namun, ini tidaklah bererti kita dihalang untuk memberikan atau menerima pakai pendapat yang berbeza dengan ulama-ulama tertentu. Untuk menjelaskan lagi soalan tuan haji, saya sebutkan perkara-perkara;

1. Al-Imam al-Ghazali r.h (450H-505H) ialah salah seorang dari sarjana besar dalam sejarah perkembangan ilmu. Sumbangannya dalam bidang fekah dan usulnya bukan sedikit nilainya. Beberapa sentuhan pemikiran maqasid syari’yyah beliau juga amat mengkagumkan. Namun, beliau lebih tertonjol dalam bidang tasauf. Karya beliau beliau Ihya ‘Ulum al-Din telah berjaya melonjakkan kedudukan beliau. Kita sebagai umat yang datang kemudian, kita berterima kasih atas sumbangan besar beliau dan mendoakan agar Allah memberikan pahala atas segala usaha beliau.
2. Namun, al-Imam al-Ghazali r.h sama seperti para ulama yang lain, mereka bukan nabi yang maksum dari kesilapan. Demikian bukunya Ihya ‘Ulum al-Din bukanlah al-Quran yang tidak mungkin dikritik. Maka, berbeza dengan beliau, atau tidak bersetuju dengan beberapa pendapat beliau dalam karyanya itu bukanlah haram. Ini selagi pendapat itu berdasarkan ijtihad yang terdedah kepada berbagai tafsiran. Kata sarjana hadis dan sejarawan Islam yang agung al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H):
“Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan”( Siyar Alam al-Nubala 19/339, Beirut : Muassasah al-Risalah).
3. Antara perkara yang dibincangkan mengenai Ihya ‘Ulum al-Din ialah kedudukan atau nilaian hadis-hadis nya. Banyak hadis-hadis yang lemah dan palsu terdapat dalamnya. Ini telah mengundang banyak kritikan sarjana hadis. Tokoh tafsir yang hadis yang terkenal iaitu al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) berkata:
“Ketika berada di Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan jantung hati. Namun padanya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu”. ( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
4. Hal ini juga pernah disebut sebelum itu oleh al-Imam al-Hafiz al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H):
“Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasar pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Hakikat ini diakui sendiri oleh al-Imam Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H) iaitu tokoh mazhab al-Syafi’i terkenal yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya dengan menyatakan:
“Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith”. Bahkan beliau mengira sebanyak 943 hadith yang tidak didapati sanad asalnya. (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut :Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
5. Namun, alhamdulillah, al-Hafiz al-‘Iraqi (meninggal 806H) yang merupakah sarjana hadis yang besar dalam sejarah telah menilai dan mengkritik hadis-hadis dalam Ihya ‘Ulum al-Din untuk manfaat ramai. Beliau telah menyemak hadith-hadith Ihya` dengan menyebut sumber hadis-hadis yang disebut dalamnya serta kedudukan hadis-hadis tersebut. Banyak hadith-hadith Ihya` telah dihukum tidak ada asal-usul dalam kitab-kitab hadis. Takhrij (menilai sumber dan kedudukan) al-Hafiz al-`Iraqi telah dicetak bersama dengan dengan kitab Ihya`. Maka hendak kita berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab tersebut, dengan cara merujuk kepada takhrij oleh al-Imam al-‘Iraqi tersebut.
Kata seorang muhaqqiq yang terkenal di zaman ini al-Syeikh Syu`ib al-Arnaud:
“Al-Hafiz Abu Fadl `Abd al-Rahim al-`Iraqi (meninggal 806H) telah menyemak hadis-hadis Ihya `Ulum al-Din kesemuanya dalam semua kitab yang dinamakan Al-Mughni `an haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya min al-Akhbar. Ianya dicetak bersama dengan Ihya. Beliau telah menunjukkan setiap hadis kepada sumbernya serta menyatakan kedudukannya. Kebanyakan hadis-hadis tersebut beliau menghukumnya sebagai dhaif (lemah) atau palsu, atau ianya tidak ada asal dari ucapan Rasulullah s.a.w. Maka hendaklah para penulis, khatib, guru dan penceramah berhati-hati dalam memetik dan berhujah dengan hadith-hadith ihya` selagi mereka tidak jelas tentang kesahihannya menerusi semakan al-Hafiz al-`Iraqi. Sesungguh seorang ulama hadith Syam, Badr al-Din al-Hasani telah berkata: “Tidak harus mensandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah s.a.w. kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh salah seorang huffaz (yang amat pakar dalam hadith) yang dikenali. Sesiapa yang berkata: “Rasulullah telah bersabda” sedangkan dia tidak tahu kesahihan hadis tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadis “Sesiapa yang berdusta ke atasku apa yang aku tidak ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (Syu`ib al-Arnaud, nota kaki tahqiq Siyar `Alam al-Nubala`, 19/340).
Demikian seorang tokoh hadis Mesir yang terkenal al-Syeikh Abu Syahbah juga menyebut:
“Aku nasihatkan kepada sesiapa yang membaca Ihya` agar tidak berpegang dengan hadith-hadith yang disebutkan kecuali setelah melihat takhrij (penilain) al-`Iraqi. Jika tidak dia akan terjatuh dalam dosa berdusta sedangkan dia tidak sedar”.(Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi `Ulum wa Mustalah al-Hadith, m.s 254, Kaherah: Dar al-Fikr)
6. Maka dengan itu, jika terdapat perkataan mana-mana pihak yang menyatakan dalam Ihya ‘Ulum al-Din adanya hadis-hadis yang lemah dan palsu, bukanlah perkara yang diada-adakan. Ia telah disebut oleh para ulama hadis sebelum ini. Namun, ini tidak bererti kita menafikan isi kandungannya yang berfaedah dan baik.
7. Antara lain yang dikritik adalah beberapa pandangan kerohanian yang terdapat dalamnya. Masalah ini menjadi perbincangan dalam kalangan sarjana. Ada beberapa pandangan dalamnya dianggap kurang sesuai atau melebihi tahap yang sepatutnya. Sehingga al-Imam al-Zahabi menyebut:
“Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”. (Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339).
Dr Yusuf al-Qaradawi juga mengkritik beberapa pandangan al-Imam al-Ghazali rh dengan katanya:
“Apa yang dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat –sekalipun secara tidak langsung- bahawa insan contoh di sisi al-Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah r.a, yang difahami dari al-Quran, Sunnah dan Sirah. Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara meningkatkan ruh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmat nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah Ta’ala, antara beribadah dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezekiNya, yang berkerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan akan mati esoknya”.( Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, m.s 164, Beirut: Muassasah al-Risalah).
8. Apapun, di samping beberapan kelemahan yang dikritik, tulisan beliau tetap mempunyai keunggulannya yang tersendiri dalam mendidik jiwa dan menghaluskan perasaan. Beliau telah menyumbang, dan ulama lain juga menyumbang. Kita mengambil manfaat dari semua dan menghargai semua. Kita beradab dengan mereka, namun itu tidak menghalang untuk kita bersetuju dengan pengkritik mereka, atau berbeza pendapat dengan mereka. Dengan syarat ia berasas ilmu, bukan emosi. Maka demikian pendirian kita terhadap karya al-Ghazali r.h.