Friday 23 June 2017

Wanita ziarah kubur

Musim raya ni ramai akan ke kubur....sedikit pedoman berdasarkan mazhab al-Shafi'i dan al-Shafi'iyyah

Nas-nas al-Shafi’i dan para ashab (pengikut) menetapkan sunat bagi lelaki menziarahi kubur manakala bagi wanita adalah haram menurut pandangan pengarang (al-Shirazi) namun ia adalah pandangan janggal dalam mazhab. Majoriti ashab mengatakan makruh tanzih (tidak hampir dengan haram). Aku (al-Nawawi) berpandangan ia tidak makruh jika tidak menimbulkan fitnah. Menurut al-Shashi, jika ziarahnya untuk mengembalikan kedukaan, raungan dan ratapan maka hukumnya haram. Atas dasar inilah hadis yang bermaksud: “Allah melaknat penziarah-penziarah kubur wanita”. Jika sebaliknya maka tidak makruh.

Disunatkan bagi penziarah untuk memberi salam dan berdoa kepada ahli kubur dan afdalnya bersumberkan hadis. Disunatkan membaca ayat-ayat Quran (untuk memberkati bukan sedekah pahala) yang mudah baginya dan berdoa sejurus selepasnya sebagaimana dalam nas al-Shafi’i dan para ashab.

Dilarang mengusap kuburan dengan tangannya dan menciumnya. Menurut al-Za’farani, ia adalah bid’ah munkarah (dibenci) yang perlu dilarang dan menjauhinya. Beliau menambah lagi, ketika berdoa hendaklah mengadap kiblat. Ini benar kerana terdapat larangan mentakzimkan kubur.

Nas-nas al-Shafi’i dan para ashab juga menetapkan larangan duduk di atas kubur, larangan ini bermaksud makruh tanzih. Para ashab juga memandang makruh duduk bertongkat tangan dan bersandar pada kubur, begitu juga tidur di kuburan tanpa keperluan.

al-Shafi’i dan para ashab juga memandang makruh membina masjid atas kubur dan solat mengadap kubur. al-Za’farani menambah tidak boleh juga solat di sisi kubur untuk mengambil berkat dan mentakzimkannya.

Menurut Ibn al-Sabbagh,  amalan keluarga simati menyediakan makanan dan berkumpul adalah bid’ah dan tidak disunatkan. Ini berdasarkan hadis Jarir ibn Abdillah: “Kami menganggap berkumpul bersama keluarga simati dan membuat jamuan selepas mayat ditanam sebagai meratapi kematian”. Adapun berkorban dikuburan adalah perbuatan terkutuk. – Kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab oleh al-Nawawi

Adapun bacaan Quran, menurut pandangan al-Mashhur oleh al-Shafi’i, tidak sampai pahala bacaan Quran yang dihadiahkan pada simati. Sebahagian para ashab mengatakan sampai. – Sharh Muslim oleh al-Nawawi

Al-'Izz ibn Abd al-Salam mengatakan tidak harus menghadiahkan pahala pada simati kerana ia melibatkan urusan pahala tanpa keizinan Syarak. - Fatawa al-'Izz

Bagi yang mengatakan pahala tersebut sampai, perlu berdoa supaya ia disampaikan pada simati. – Rawdah al-Talibin oleh al-Nawawi

Ibn Hajar al-Haythami menambah: bukanlah yang dimaksudkan memindahkan pahala bacaan pada simati tetapi maksudnya berdoa supaya Allah memberi fadilat dan ganjaran sebagaimana bacaan tersebut. – al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra

No comments: