Tuesday 8 June 2021

muhasabah dirimu

 Prof MZaki Kamsah menulis: 

"Jika anda tidak menjalani kehidupan dengan fikiran yang terrbuka, anda akan menemui banyak pintu yang tertutup..."


...Sambungan


Semalam kita membicarakan tentang isu pentingnya kita berfikiran terbuka dan tidak bersikap berfikiran tertutup.. Orang yang berfikiran tertutup tidak mahu idea mereka dicabar. Mereka biasanya akan merasa kecewa jika orang lain tidak bersetuju dengan mereka dan bukannya ingin tahu mengapa orang lain tidak bersetuju.

Orang yang berfikiran tertutup lebih cenderung memberikan pandangan daripada bertanya. Mereka adalah orang yang duduk dalam mesyuarat dan lebih bersedia memberikan pendapat mereka, tetapi tidak pernah meminta orang lain untuk  menjelaskan idea mereka. Orang yang berfikiran tertutup sentiasa memikirkan bagaimana cara mereka akan menyanggah pemikiran orang lain, daripada berusaha memahami apa yang mereka tidak faham.

Orang yang berfikiran tertutup lebih mahu diri mereka difahami daripada memahami orang lain. Tingkah laku seseorang boleh memberi gambaran mudah tentang sikapnya. Misalnya apabila anda tidak bersetuju dengan seseorang, apa reaksi mereka? Sekiranya mereka cepat menyatakan semula apa yang mereka katakan atau, lebih buruk lagi, mengulangi setiap patah perkataan yang mereka ucapkan, maka mereka menganggap bahawa anda tidak memahaminya, dan bukannya anda tidak bersetuju dengannya.

Orang yang berfikiran tertutup akan selalu mengeluarkan kenyataan seperti berikut: "Saya mungkin salah ... tapi inilah pendapat saya..." Ini adalah isyarat klasik yang menggambarkan sikap mereka. Ia merupakan isyarat yang jelas minda tertutup apabila terus tegas berpegang dengan pendapat mereka sendiri sambil meyakinkan diri mereka bahawa mereka berfikiran terbuka. Sekiranya pernyataan mereka dimulakan dengan "Saya mungkin salah" ..., sewajarnya mereka harus menamatkannya dengan soalan dan bukan penegasan.

Orang yang berfikiran tertutup menyekat orang lain daripada bercakap. Mereka tidak mahu membincangkan lagi  sesuatu yang sudah mereka utarakan. Mereka tidak mahu mendengar suara orang lain melainkan suara mereka.

Orang yang berfikiran tertutup menghadapi masalah untuk menyimpan dua pandangan secara serentak di dalam fikiran mereka. Mereka lebih berpegang kepada pandangan yang mereka gemari. 

Orang yang berfikiran tertutup juga tidak mempunyai sikap rasa rendah diri. Pandangan serta idea mereka dirasakan paling baik dan harus didengari.

Awas dengan sikap ini.. ia boleh menyebakkan ahli keluarga, rakan serta teman sekerja menjauhi diri kita.. 


No comments: