Thursday 10 May 2018

Terus berjuang!

Al Bayaanul Mubin. Siri 66
24 Sya’ban 1439 / 10 Mei 2018

*SEMANGAT JUANG TERUS MEMBARA.*

_Oleh : Nasrudin bin Hassan_
_Ketua Penerangan PAS Pusat_
https://m.facebook.com/bayaanulmubin

1. Keputusan PRU 14 diterima dengan lapang dada. Menang kalah akan jadi subjek post mortem parti. Tentu sahaja yang *lemah akan diperkuatkan*, yang *silap akan diperbetulkan*.

2. Tiada keluhan atas keputusan. Sebaliknya tenang mengatur langkah perjuangan sehinggalah Islam tegak di atas tanahair tercinta ini.

3. Jelas perjuangan Islam makin *kukuh bertapak* dan *kuat bertahan* di bumi Malaysia ini. Kerja gigih semua pihak tidak sia-sia. Bermula dari saf kepimpinan parti yang merencana, hinggalah kepada seluruh jentera yang berkorban.

4. Sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, saya mengambil kesempatan khusus untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua *warga penerangan* parti disegenap peringkat.

5. Teristemewa kepada *Mujahid Siber* dan *skuad supporter* dari kalangan *sukarelawan siber* yang sangat banyak membantu penerangan PAS menyampaikan mesej kepada masyarakat.

6. Benar, PAS masih belum mendapat kepercayaan penuh daripada rakyat untuk menguasai kerajaan persekutuan. Namun atas *kerja keras kalian* semua, risalah Islam yang dibawa oleh PAS kian diterima dan mula mendapat sambutan.

7. Sewaktu kita bersama dalam *Barisan Alternatif* menghadapi PRU  2008, kita memenangi 23 kerusi parlimen dan 83 kerusi DUN.

~ Sementara PRU 2013 kita bersama *Pakatan Rakyat*, kita perolehi 21 kerusi parlimen dan 85 kerusi DUN.

~ Kini pada PRU 2018, kita pada *blok kita sendiri* berjaya memenangi 18 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN.

8. Ia satu pencapaian yang menakjubkan dan luar biasa. Ternyata *kita tidak kalah*, hanya kita belum menang besar.

9. Saya percaya, jika kita bersama PH pun, kita hanya mampu berpada dengan peruntukan kerusi yang kecil dan memenanginya dengan jumlah yang sedikit. Lebih memenatkan apabila kita pula terpaksa terikat dengan pelbagai aturan dan kekangan.

10. Kini PAS memimpin blok sendiri iaitu Gagasan Sejahtera. PAS lebih bebas menentu polisi, dasar, prinsip dan halatuju perjuangan Islam.

11. Memenangi kerusi DUN dan *membentuk kerajaan 2/3 majoriti* di Kelantan dan Terengganu adalah satu kejayaan besar. Menjadi _“King Maker”_ di Kedah dan Perak serta menambah 5 kerusi DUN di Pahang adalah *tambahan nilai bermakna buat perjuangan Islam* yang didukung oleh PAS.

12. Perjuangan ini memang ada pasang surutnya. Justeru itu, tiada apa yang perlu diratapi dalam perjuangan ini. *Jika jatuh, kita bangun. Jika rebah kita bangkit*. Namun bersedih, merajuk, kecewa dan berpaling lari meninggalkan perjuangan ini bukan perangai dan akhlak mereka yang berdarah pejuang.

_Hayatilah Firman Allah swt :_

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

_Dan berapa banyak dari Nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan Allah dan mereka juga tidak lemah dan tidak pula tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang yang sabar._

Surah Ali Imran : 146

وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّا أَن قَالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

_Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir._

Surah Ali Imran : 147

13. Perjuangan kita masih jauh. *Jalan tarbiah, dakwah dan siasah masih panjang*. Ayuh kita atur langkah dan menapak dengan sabar dan tabah. Allah swt bersama dengan hambaNya yang sabar. Berjalanlah atas jadual Allah swt tanpa kita meraguinya. Meyakini ketentuanNya dengan 1001 hikmah yang perlu dihayatinya.

_Sejahtera Bersama Islam_

Sekian

No comments: