Friday 19 February 2021

Kenali muhadith

 Al-Jami' al-Saghir merupakan antara karya terakhir yang ditulis oleh Imam al-Suyuti. Sebagaimana maklumat yang tercatat dalam gambar, penulisan karya ini ditamatkan pada 907H dan Imam al-Suyuti meninggal dunia pada tahun 911H. 


Karya ini merupakan ringkasan daripada karya beliau yang lebih besar iaitu al-Jami' al-Kabir a.k.a Jam' al-Jawami'. Namun, didapati ada juga hadith yang terdapat dalam al-Jami' al-Saghir tidak terdapat dalam al-Jami' al-Kabir. Gabungan kedua-dua karya ini menjadi satu ensiklopedia hadith terbesar yang belum pernah ada sebelum era Imam al-Suyuti. Justeru itu, idea penulisan karya ini dipuji ulama semisal Syeikh Muhammad Sayyid al-Tantawi dan Syeikh 'Abd al-Halim Mahmud, mantan Syeikh al-Azhar. 


Walau bagaimanapun, karya al-Jami' al-Saghir ini tidak terlepas daripada mendapat kritikan daripada ulama yang datang selepasnya kerana Imam al-Suyuti dilihat tidak memenuhi syarat yang beliau tetapkan sendiri dalam mukadimah karya ini. Justeru itu, beliau dikritik sebagai bersikap tasahul dalam menilai status bagi sesebuah hadith. 


Antara yang mengkritik ialah Syeikh Ahmad al-Ghumari. Justeru, beliau menulis sebuah karya berjudul al-Mughir ‘ala al-Ahadith al-Mawdu‘ah  fi al-Jami‘ al-Saghir. Walau bagimanapun, ada juga berpandangan bahawa Imam al-Suyuti mempunyai manhaj lain yang berbeza daripada apa yang digunakan oleh para ulama. Allah lebih mengetahui.


Apa yang nak disampaikan di sini, kita tidak tahu bilakah tarikh kematian kita. Justeru itu, berusahalah semampu mungkin untuk mengisi setiap detik dalam kehidupan dengan melakukan kebaktian dalam segenap lapangan yang kita mampu.

No comments: