Tuesday 8 August 2017

..berhati2 menghukum IMAM MAZHAB

Imam al-Syafii mengharuskan bapa zina menikahi anak zinanya?

Syeikh Riyad al-Khiraqi (rahimahullah) melarang murid-murid beliau bermudah menyalahkan pendapat ulama. Terutama apabila ulama itu adalah seorang mujtahid mutlak yang dikitiraf ketokohannya oleh umat sejak berkurun. Larangan ini bukan kerana menempatkan ulama setaraf nabi yang maksum. Akan tetapi secara logik keilmuan, kesalahan seorang pakar -kalau pun betul salah- tidak mungkin terlalu terang sehingga terlihat lebih rendah daripada orang awam yang jahil. Jika kita yang awam ini tahu perkara itu silap, tokoh alim itu tentu lebih tahu.

Oleh sebab itu, jika kami menemukan pendapat ulama yang terdengar ganjil, Syeikh Riyad (rahimahullah) menyuruh kami memastikan terlebih dahulu pendapat tersebut. Benarkah ucapan yang dinisbahkan kepada beliau itu benar-benar berasal daripada beliau? Jika benar, bagaimana lafaz ucapan beliau yang sebenarnya? Jika telah pasti, fahami sebab-sebab di sebalik pendapat itu? Selepas itu, kita boleh memilih dengan penuh tawaduk untuk setuju ataupun tidak setuju. Kecaman apalagi cemuhan? Tidak sama sekali.

Saya berusaha untuk selalu mengamalkan tarbiyah guru saya ini. Justeru, apabila melihat komen-komen negatif berkenaan Imam al-Syafii yang kononnya mengharuskan penzina menikahi anak kandungnya sendiri, saya berasa tidak selesa.

Lontaran isu ini ternyata telah berlaku sejak dahulu. Kebanyakannya adalah propaganda untuk memburukkan mazhab Syafii di mata awam. Sesetengah musuh al-Syafii zaman dahulu bahkan menuduh pandangan ini mirip dengan agama Majusi yang membenarkan incest. Tuduhan yang sangat buruk dan tidak munasabah dengan kesalehan dan keilmuan tokoh ulama ini. (lihat jawapan Fakhruddin al-Razi untuk tuduhan ini dalam Manaqib Imam al-Syafii h. 532).

Nas ucapan Imam al-Syafii yang spesifik menyebutkan perkara ini saya jumpai dalam kitab al-Um 5:32 sebagaimana berikut:

فَإِنْ وَلَدَتْ امْرَأَةٌ حَمَلَتْ مِنْ الزِّنَا اعْتَرَفَ الَّذِي زَنَا بِهَا أَوْ لَمْ يَعْتَرِفْ فَأَرْضَعَتْ مَوْلُودًا فَهُوَ ابْنُهَا ، وَلَا يَكُونُ ابْنُ الَّذِي زَنَى بِهَا ، وَأَكْرَهُ لَهُ فِي الْوَرَعِ أَنْ يَنْكِحَ بَنَاتِ الَّذِي وُلِدَ لَهُ مِنْ زِنًا كَمَا أَكْرَهُهُ لِلْمَوْلُودِ مِنْ زِنًا ، وَإِنْ نَكَحَ مِنْ بَنَاتِهِ أَحَدًا لَمْ أَفْسَخْهُ ، لِأَنَّهُ لَيْسَ بِابْنِهِ فِي حُكْمِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ . فَإِنْ قَالَ قَائِلٌ: فَهَلْ مِنْ حُجَّةٍ فِيمَا وَصَفْت؟ قِيلَ نَعَمْ: قَضَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِابْنِ أَمَةَ زَمْعَةَ لِزَمْعَةَ ، وَأَمَرَ سَوْدَةَ أَنْ تَحْتَجِبَ مِنْهُ لِمَا رَأَى مِنْهُ مِنْ شَبَهِهِ بِعُتْبَةَ ، فَلَمْ يَرَهَا  وَقَدْ قَضَى أَنَّهُ أَخُوهَا حَتَّى لَقِيَتْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ ، لِأَنَّ تَرْكَ رُؤْيَتِهَا مُبَاحٌ وَإِنْ كَانَ أَخًا لَهَا ، وَكَذَلِكَ تَرْكُ رُؤْيَةِ الْمَوْلُودِ مِنْ نِكَاحِ أُخْتِهِ مُبَاحٌ ، وَإِنَّمَا مَنَعَنِي مِنْ فَسْخِهِ أَنَّهُ لَيْسَ بِابْنِهِ إذَا كَانَ مِنْ زِنًا.

“Seandainya  seorang perempuan hamil kerana zina, samaada pasangannya mengakui ataupun tidak, lalu perempuan itu menyusui anak tersebut, maka ia adalah anaknya dan bukan anak pasangannya. Saya MAKRUH-kan atas dasar warak bagi anak tersebut menikahi anak-anak perempuan pasangan zina itu (yakni bapa zina) sebagaimana aku makhruhkan beliau (penzina) menikahi anak zina. Jika ia menikahi juga seseorang daripada anak-anak perempuan (bapa zinanya) itu, maka aku tidak memfasakh pernikahan tersebut kerana ia bukan anak beliau mengikut KEPUTUSAN RASULULLAH S.A.W.

“Jika seseorang bertanya: adakah hujah bagi ucapan anda ini? Jawapan: Ya. Rasulullah menetapkan anak hamba perempuan Zam’ah untuk Zam’ah. Baginda turut menyuruh Sawdah untuk berhijab daripadanya apabila melihat kemiripan anak itu dengan ‘Utbah. Beliau (Saudah) lalu tidak melihatnya -padahal Rasulullah telah menetapkan bahawa anak itu adalah adiknya -hingga meninggal dunia. Kerana tidak melihatnya adalah mubah sekalipun ia adalah anak (bapa)-nya, dan tidak melihat anak yang terlahir daripada pernikahan adiknya pun mubah. Perkara yang menghalangi saya untuk memfasakh pernikahan itu adalah ia (anak zina) bukan anak (bapanya) kerana lahir daripada zina.”

Sila amati ucapan Imam al-Syafii yang sangat teliti dan penuh kehati-hatian. Hadith yang beliau disebutkan adalah sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim. Hadith tersebut menceritakan perebutan seorang anak antara Sa’ad bin Abi Waqqas dan ‘Abd bin Zam’ah. Anak tersebut dilahirkan oleh hamba milik Zam’ah (bapa ‘Abd dan Sawdah), namun Saad meneriwa wasiat daripada ‘Utbah bin Abi Waqqas (abang beliau) bahawa anak tersebut sebenarnya adalah anak zina beliau. ‘Abd bin Zamaah menolak menyerahkan anak tersebut kerana ia dilahirkan oleh hamba milik ayahnya, justeru secara zahir ia adalah anak ayahnya dan adik beliau. Apabila kes ini bawa ke hadapan Nabi, baginda memutuskan anak tersebut milik keluarga Zamaah. Namun oleh kerana rupa anak itu mirip dengan ‘Utbah, maka baginda memerintahkan Sawdah binti Zamaah untuk berhijab apabila berada di hadapannya, walaupun ia secara hukum adalah adiknya sendiri.

Dari hadith ini, al-Syafii merumuskan bahawa anak zina bagi penzina adalah orang asing. Justeru, jika anak zina tersebut hendak berkahwin dengan anak halal daripada “bapa kandungnya” tersebut, maka hukumnya makruh. Begitu juga jika anak zina itu menikahi “bapa” kandungnya daripada zina. Jika pernikahan itu benar-benar berlaku, maka beliau tidak dapat memfasakh pernikahan tersebut kerana tiada dalil yang melarang pernikahan antara dua orang yang tidak terikat dalam pertalian kekeluargaan.

Ucapan ini mencerminkan sikap al-Syafii yang teguh berpegang kepada Sunnah, sekaligus keengganan beliau menetapkan suatu hukum tanpa dalil. Memfasakh nikah pasangan yang disebutkan adalah tindakan yang tidak memiliki asas daripada al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas. Justeru beliau enggan melakukannya walaupun tidak menyukai pernikahan tersebut.

**

Sedia maklum bahawa kitab al-Um adalah riwayat Rabi’ bin Sulaiman daripada Imam al-Syafii. Ketetapan hukum ini turut terdapat dalam Mukhtasar al-Muzani. Kitab ini mengandungi nusus Imam al-Syafii yang diriwayatkan dan disusun oleh Ibrahim al-Muzani. Selepas menyebutkan nas al-Syafii yang menghukum makruh pernikahan anak zina dengan anak-anak “bapa kandung”-nya, al-Muzani meriwayatkan bahawa al-Syafii pernah MELARANG penzina menikahi anak zinanya. Beliau meriwayatkan qaul tersebut lalu mengkritiknya. Beliau berkata (dicetak Bersama kitab al-Um 8:334):

وَقَدْ كَانَ أَنْكَرَ عَلَى مَنْ قَالَ: يَتَزَوَّجُ ابْنَتَهُ مِنْ زِنًا وَيَحْتَجُّ بِهَذَا الْمَعْنَى ، وَقَدْ زَعَمَ أَنَّ رُؤْيَةَ ابْنِ زَمْعَةَ لِسَوْدَةِ مُبَاحٌ وَإِنْ كَرِهَهُ ، فَكَذَلِكَ فِي الْقِيَاسِ لَا يَفْسَخُ نِكَاحَهُ وَإِنْ كَرِهَهُ ، وَلَمْ يَفْسَخْ نِكَاحَ ابْنِهِ مِنْ زِنَا بَنَاتِهِ مِنْ حَلَالٍ لِقَطْعِ الْأُخُوَّةِ ، فَكَذَلِكَ فِي الْقِيَاسِ لَوْ تَزَوَّجَ ابْنَتَهُ مِنْ زِنًا لَمْ يُفْسَخْ وَإِنْ كَرِهَهُ لِقَطْعِ الْأُبُوَّةِ ، وَتَحْرِيمِ الْأُخُوَّةِ كَتَحْرِيمِ الْأُبُوَّةِ ، وَلَا حُكْمَ عِنْدَهُ لِلزِّنَا لِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ ، فَهُوَ فِي مَعْنَى الْأَجْنَبِيِّ ، وَبِاَللَّهِ التَّوْفِيقُ.

“Beliau (al-Syafii) menyalahkan pihak yang berkata: (harus) menikahi anaknya daripada zina, lalu berhujah dengan makna ini, padahal beliau telah menetapkan bahawa penglihatan Ibn Zamaah kepada Sawdah adalah mubah walaupun makruh. Begitu juga secara qiyas, tidak difasakh nikahnya sekalipun makruh. Beliau tidak memfasakh pernikahan seorang anak zina dengan anak-anak perempuan yang halal kerana terputus hubungan adik beradik. Maka begitu juga secara qiyas: jika seseorang menikahi anak perempuannya sendiri daripada zina, tidak boleh difasakh meskipun makruh kerana ketiadaan hubungan anak-bapa. Pengharaman adik beradik sama dengan pengharaman bapa-anak. Menurut beliau, zina tidak memberi kesan hukum kerana sabda Nabi: Penzina hanya berhak mendapatkan batu (rajam), justeru ia seperti orang asing.”

Kebanyakan ashab (ulama Syafiiyah) selepas al-Muzani menafikan qaul kedua ini. Mereka menuduh al-Muzani tersilap dalam memahami ucapan al-Syafii. Imam al-Haramain dalam Nihayat al-Matlab 15:139 berkata:

وفيما نقله المزني ما يدل على أن للشافعي قولاً مطلقاً في منع نكاح ولد الزانية في حق الزاني إذا غلب على الظن أن العلوق منه، وهذا لم يقبله الأصحاب، ورأَوْا القطعَ بأن النكاح لا يحرم، والكراهيةُ ثابتةٌ، وردّ الشافعيُّ على من لا يكره للزاني نكاحَ بنت الزانية، وظن المزني أن ما ذكره تحريمٌ، وليس الأمر كذلك.

“Nukilan al-Muzani menunjukkan bahawa al-Syafii memiliki satu qaul yang mutlak melarang menikahi penzina menikahi anak zinanya apabila diyakini bahawa darah daging anak itu berasal daripadanya. Ini tidak diterima oleh ashab. Mereka  memandang telah pasti bahawa nikah tidak haram dan makruh telah sabit. Bantahan al-Syafii adalah ke atas pandangan yang tidak memakruhkan penzina menikahi anak zina, namun al-Muzani menyangka bahawa pandangan itu mengharamkan. Padahal perkara ini tidak sedemikian.”

Menurut saya, menyalahkan al-Muzani seperti ini agak sukar diterima. Beliau seorang murid kanan al-Syafii dan tokoh yang thiqah apabila meriwayatkan daripada al-Syafii. Jika beliau meriwayatkan qaul al-Syafii, kita tidak boleh menolak riwayat beliau melainkan apabila dinafikan oleh murid-murid al-Syafii yang lain seperti al-Buwaiti, al-Rabi’, Harmalah, dan lain-lain. Mungkin itu sebabnya Ibn Kathir menetapkan dua qaul bagi Imam al-Syafii dalam perkara ini. Beliau berkata (Tabaqat al-Fuqaha al-Syafi’iyyin 1:80):

وعنده في المخلوقة من ماء الزاني هل يحل له تزوجها قولان ، المشهور: نعم، ويحكي رواية عن مالك، والقول الثاني: لا، وهو المشهور عن مالك ، وهو قول أبي حنيفة، وأحمد.

“Pandangan beliau (al-Syafii) berkenaan anak perempuan yang tercipta daripada air mani penzina adakah halal menikahinya ataukah tidak, terdapat dua qaul. Yang masyhur adalah ya (halal). Pandangan ini turut dihikayatkan daripada Imam Malik. Qaul yang kedua: tidak (halal). Ini adalah pandangan masyhur daripada Malik, juga qaul Abu Hanifah dan Ahmad.”

Semakin menguatkan pandangan yang menetapkan dua qaul ini adalah ucapan Imam al-Nawawi yang menetapkan satu wajh dalam mazhab Syafii yang mengharamkan perkara tersebut. Beliau menulis dalam al-Rawdah (9:16):
فَلَا يَحْرُمُ عَلَى الزَّانِي أَنْ يَنْكِحَ الصَّغِيرَةَ الْمُرْتَضِعَةَ مِنْ ذَلِكَ اللَّبَنِ لَكِنَّهُ يُكْرَهُ ، وَقَدْ حَكَيْنَا فِي النِّكَاحِ وَجْهًا أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لَهُ نِكَاحُ بِنْتِ زِنَاهُ الَّتِي تَعْلَمُ أَنَّهَا مِنْ مَائِهِ، فَيُشْبِهُ أَنْ يَجِيءَ ذَلِكَ الْوَجْهُ هُنَا .

“… maka tidak haram ke atas penzina menikahi anak kecil yang menyusu dengan susu itu, akan tetapi makruh. Kami telah menceritakan dalam kitab al-Nikah satu wajh bahaw atidak boleh baginya (penzina) menikahi anak zina yang diketahui berasal daripada air maninya. Justeru, wajh itu pun turut berlaku dalam permasalahan ini.”

Wajh adalah pandangan ashab yang diambil kira dalam pembentukan mazhab. Pandangan -pandangan tersebut kebanyakannya berasaskan kaedah dan kerangka usul mazhab Syafii. Justeru, besar kemungkinan pemilik wajh yang mengharamkan pernikahan bapa dan anak zina ini mengambilnya daripada qaul kedua Imam al-Syafii.

**

Diskusi di atas bukan untuk menetapkan haram/halal seorang penzina menikahi anak zinanya. Sangat jauh jika hendak dikaitkan dengan hukum meletak bin kepada anak zina. Objektif tulisan ini hanya untuk mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam menisbahkan satu pendapat kepada seorang imam.

Berdasarkan perbincangan di atas, tepatkah kita mengatakan bahawa Imam al-Syafii mengharuskan seorang penzina menikahi anak zinanya? Menurut saya, ucapan ini mengandungi banyak kesilapan. Pertama, Imam al-Syafii memiliki dua qaul walaupun ulama Syafiiyah terkemudian mentarjih salah satunya sebagai qaul mu’tamad. Tarjih Syafi’iyyah berbeza dengan qaul al-Syafii. Kedua, salah satu qaul al-Syafii melarang dan satu qaul lagi mengatakan MAKRUH. Kita sedia maklum bahawa makruh adalah salah satu lafaz larangan walaupun tidak seberat lafaz haram. Justeru, ucapan yang mengatakan bahawa “Imam al-Syafii mengharuskan …” tidak tepat dan sangat mengelirukan.
Wallahu a’lam.

Credit to my ustaz Dr Umar Muhamad Noor

No comments: