Thursday 22 February 2018

Interaksi dgn hadith daif

CnP:

Interaksi dengan hadis da‘if serta khilaf ulama berkenaannya:

Berkata al-Imam al-Nawawi rahimahullah:
Jika anda ingin meriwayatkan hadis daif tanpa sanad, jangan anda sebut, “Bersabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam sekian” atau seumpamanya yang menunjukkan kepastian. Sebaliknya hendaklah anda sebut, “Diriwayatkan sekian” atau “Sampai kepada kami sekian” atau “Tiba” atau “Datang” atau “Dinukilkan” dan perkataan yang seumpamanya. Begitu juga jika anda meragui tentang kesahihan sesuatu hadis itu.

Dan dibenarkan di sisi Ahlil Hadis dan selain mereka untuk tasahul (berlembut) pada sanad-sanad dan meriwayatkan hadis yang bukan mauduk daripada hadis-hadis daif, serta beramal dengannya (hadis daif) tanpa menjelaskan kedaifannya pada (perbincangan) yang bukan (merupakan) sifat-sifat Allah Taala dan hukum-hakam, seperti halal dan haram, serta apa yang tidak berkaitan dengan akidah dan hukum-hakam.

Berkata al-Imam al-Suyuti rahimahullah:
[Dan dibenarkan di sisi Ahlil Hadis dan selain mereka untuk tasahul (berlembut) pada sanad-sanad] yang daif, [dan meriwayatkan hadis yang bukan mauduk daripada hadis-hadis daif, serta beramal dengannya (hadis daif) tanpa menjelaskan kedaifannya pada (perbincangan) yang bukan (merupakan) sifat-sifat Allah Taala] dan apa yang jaiz dan apa yang mustahil terhadapNya serta tafsiran kalamNya, [dan hukum-hakam, seperti halal dan haram, serta] selainnya, ini seperti kisah-kisah, fada’ilul a‘mal, peringatan dan sebagainya, [apa yang tidak berkaitan dengan akidah dan hukum-hakam]. Di antara ulama yang dinukilkan berkata demikian adalah: (Ahmad) Ibnu Hanbal , Ibnu Mahdi, Ibnu al-Mubarak; mereka berkata, “Jika kami meriwayatkan dalam hal halal dan haram, kami akan bertegas. Jika kami meriwayatkan dalam hal fada’il dan seumpamanya, kami akan berlembut.”

[Perhatian]
Ibnu al-Salah dan penulis (al-Nawawi) di sini serta dalam kesemua kitabnya, tidak menyatakan kecuali syarat ini sahaja; iaitu hadis daif itu berkenaan Fadail dan sebagainya.

Namun Shaikhul Islam (Ibnu Hajar dalam al-Nukat) menyatakan 3 syarat untuk hadis daif:
1: Pertama: kedaifannya tidak syadid (melampau). Terkeluar dengan ini: periwayat yang bersendirian di kalangan al-Kazzabin (periwayat yang memalsukan hadis), al-Mutahamin bil-kazib (periwayat yang berbohong dalam urusan dunia) dan Man fahusha ghalatuh (periwayat yang terlalu banyak kesilapannya). Al-‘Ala’i menyatakan kesepakatan ulama terhadap perkara ini.
2: Kedua: hadis daif itu dipayungi satu dalil yang merupakan asal yang diamalkan.
3: Ketiga: orang yang mengamalkannya tidak berkepercayaan bahawa hadis daif itu thabit (wujud secara sah), sebaliknya dia hanya berkepercayaan ianya sebagai ihtiyat (berjaga-jaga/berkemungkinan).
Beliau (Ibnu Hajar) mengatakan: Dua perkara ini dinyatakan oleh Ibnu Abdis Salam dan Ibnu Daqiq al-‘Id.

Ada pendapat yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadis daif secara mutlak (dalam semua keadaan). Ini merupakan pendapat Abu Bakr Ibnul Arabi.

Ada pendapat yang mengatakan boleh beramal dengan hadis daif secara mutlak (dalam semua keadaan). Telah dijelaskan bahawa pendapat disandarkan kepada Abu Daud dan Ahmad, di mana mereka berpandangan bahawa hadis daif lebih kuat daripada pendapat al-Rijal (ulama).
Al-Zarkashi pula menyebut: Dan hadis daif itu tertolak selagi mana bukan merupakan targhib (galakan) atau tarhib (ancaman) atau mempunyai jalur periwayatan yang banyak; dan selagi mana hadis mutabi‘nya (hadis yang menyokong dari jalur lain namun bertemu sahabat) tidak rendah derajat daripadanya.

Ada pendapat yang mengatakan tidak diterima hadis daif secara mutlak (dalam semua keadaan).

Ada pendapat yang mengatakan boleh diterima hadis daif jika terdapat dalil yang merupakan asal dan ianya termasuk dalam keumuman dalil. Intaha (berakhir nukilan)

Boleh juga diamalkan hadis daif dalam urusan hukum-hakam sekiranya mengandungi erti ihtiyat (berjaga-jaga/berkemungkinan)

Sumber: Jalaluddin al-Suyuti, Tadrib al-Rawi. (1432H). Tahqiq Abu Qutaibah Nazar Muhammad al-Faryabi. Al-Riyad: Dar Taybah. Halaman 350-351.

Pesan DFO:
Menurut penjelasan al-Imam al-Nawawi Rahimahullah dan syarahan al-Imam al-Suyuti Rahimahullah, terdapat sekitar 7 pandangan berkenaan dengan beramal dengan hadis daif. Boleh dirumuskan seperti berikut:

1- Boleh jika berkaitan dengan Fada’il A’mal dan seumpamanya seperti kisah-kisah, mau’izah (peringatan/tazkirah). Iaitulah tidak berkaitan dengan sifat-sifat Allah Taala, hukum-hakam, halal dan haram serta yang tidak berkaitan dengan akidah mahupun hukum-hakam.
2- Boleh diamalkan jika memenuhi 3 syarat.
3- Tidak boleh diamalkan dalam semua keadaan.
4- Boleh diamalkan dalam semua keadaan. Bahkan lebih utama dari pandangan ulama.
5- Tidak boleh diterima dalam semua keadaan.
6- Boleh diterima jika terdapat dalil yang merupakan asal dan ianya termasuk dalam keumuman dalil.
7- Boleh diamalkan dalam hukum jika untuk berjaga-jaga.
Justeru, dalam menyantuni kepelbagaian pandangan para ulama berkenaan hadis daif, eloklah kita berlapang dada. Walaupun al-Imam al-Nawawi dan al-Imam Ibnu Hajar rahimhumallah agak tegas dalam berinteraksi dengan hadis daif, terdapat juga pandangan yang agak lembut. Jika kita mengambil pandangan al-Imam al-Nawawi dan al-Imam Ibnu Hajar rahimahumallah, teruskan dan hormatilah pandangan lain. Begitu juga sebaliknya.

Jika ditanya, DFO ambil pandangan mana? Jawapannya adalah, saya ambil pandangan al-Nawawi dan Ibnu Hajar rahimahumallah bahawa:
Hadis daif boleh diamalkan selagi mana tidak mauduk, jika berkaitan dengan Fada’il A’mal dan seumpamanya seperti kisah-kisah, mau’izah (peringatan/tazkirah). Iaitulah tidak berkaitan dengan sifat-sifat Allah Taala, hukum-hakam, halal dan haram serta yang tidak berkaitan dengan akidah mahupun hukum-hakam. Dan hadis daif itu mestilah memenuhi 3 syarat iaitu pertama: kedaifannya tidak syadid (melampau). Kedua: hadis daif itu dipayungi satu dalil yang merupakan asal yang diamalkan. Ketiga: orang yang mengamalkannya tidak berkepercayaan bahawa hadis daif itu thabit (wujud secara sah), sebaliknya dia hanya berkepercayaan ianya sebagai ihtiyat (berjaga-jaga/berkemungkinan).

Sekian.
DFO
6 Jamadilakhir 1439
22-2-18

No comments: