Monday 19 March 2018

Istilah..

ISTILAH-ISTILAH DALAM KITAB FIQH MAZHAB SYAFIE

Muqaddimah

Mazhab Syafie kaya dengan istilah. Perkembangan mazhab itu sendiri dari satu zaman ke zaman menyebabkan timbulnya pelbagai istilah fiqh bagi memudahkan proses pembelajaran penuntut ilmu. Antara lain tujuan wujudnya istilah-istilah tersebut ialah bagi meringkaskan gaya penulisan kitab fiqh. Biasanya taarif istilah disebut pada permulaan kitab.

Namun, ada juga ulama yang melihat bahawa ia menyusahkan orang ramai. Kata Ibn Khaldun dalam Muqaddimahnya:

"Perlu diketahui, antara yang menyusahkan orang ramai dalam penguasaan ilmu dan pencapaian matlamatnya adalah kerana terlalu banyak karangan ulama, berbeza-beza istilah  dan bermacam-macam gaya olahannya.

Apabila ia dapat diingati dan difahami, barulah seseorang pelajar dapat berpindah ke tahap penguasaan ilmu yang seterusnya.

Di sini, pelajar perlu menghafal kesemua atau sebahagian besar istilah-istilah tersebut dan mengambil kira gaya olahan pengarangnya.

Dengan cara sebegini, sudah tentu seseorang itu tidak dapat menguasai walaupun satu bidang ilmu dalam hidupnya. Ia rebah dan gagal sebelum mencapai tahap penguasaannya." 

Istilah-Istilah Fiqh

Kita biasa dengar, baca dan faham istilah hukum fiqh seperti FARDHU, WAJIB, FARDHU AIN, FARDHU KIFAYAH, RUKUN, SYARAT, SUNAT, HARUS, HARAM, MAKRUH, TUNAI, QADHA, MENGULANG(I'ADAH).

Tetapi apabila ada istilah-istilah yang agak tidak biasa kepada orang awam seperti KHILAFUL AWLA, MAKRUH TAHRIM, MAKRUH TANZIH, AL AQWAL, AL AUJUH, AL TURUQ, AL AZHAR, AL MASYHUR, AL ASHAB, AL ASOH, AL SOHIH, AL NAS, AL MAZHAB, AL TAKHRIJ, AL JADID, AL QADIM, QILA KAZA, THORIQAH IRAQ, THORIQAH KHURASAN, AL MUKTAMAD, AL MUKHTAR dan seumpamanya; mereka pasti tertanya-tanya. Ini memerlukan penjelasan lebih lanjut oleh ahli ilmu yang memberi kuliah. Tetapi jika pemberi kuliah pun keliru, bagaimana mungkin orang awam akan faham. Cuma kebiasaannya ia dibicarakan dalam pengajian di pondok-pondok dan universiti barangkali.

Gelaran Ulama Dalam Mazhab Syafie

Tadi bab istilah-istilah fiqh. Ini pula bab gelaran dalam mazhab Syafie. Boleh tahan banyak juga. Contohnya AL IMAM, AL QADHI, AL QADHIAN, AL SYARIH, SYARIH, QALA BA'DHUHUM, AL SYAIKHAN, AL SYUYUKH, SHAIKHUNA, SHAIKH AL ISLAM, SYAIKHI dan seumpamanya. Semuanya merujuk makna tersendiri. Setengah istilah tersebut mempunyai makna berbeza walaupun sebutan yang sama apabila ditemui dalam kitab dan pengarang yang berbeza.

KESIMPULAN

Kepada ustaz-ustaz muda termasuklah diri sendiri ini (nisbah pada ilmunya), perbanyakkan guru dan pengajian. Rajin-rajinkan diri membaca untuk menambah khazanah ilmu di dada. Bersabarlah dengan suasana masyarakat yang ada. Bersabarlah dengan perbezaan pendapat yang ada. Kekadang yang kita rasa pendapat yang kita tahu itulah paling betul dan benar, rupa-rupanya tidak kepada orang lain dek kerana perbezaan cara istinbat sesuatu dalil. Itu belum lagi membicarakan kuat atau lemahnya sesuatu dalil itu.

Banyaknya istilah-istilah ini menjadi cabaran yang wajib disahut oleh ustaz-ustaz dan penuntut ilmu. Pandanglah ia sebagai suatu yang positif dan teruskan budaya ilmu dalam masyarakat Islam kita.








No comments: