Monday 5 March 2018

MTS

https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/02/391739/tahfiz-bertaraf-antarabangsa

*Tahfiz bertaraf antarabangsa*

Oleh Latifah Arifin
latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Mengembangkan sistem hafazan al-Quran Sulaimaniyyah yang diasaskan ilmuwan Islam terkemuka ketika zaman kegemilangan empayar Turki Uthmaniyyah, Suleyman Hilmi Tunahan, Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) kini mempunyai cawangan di 160 negara.

Di negara ini, MTS melebarkan sayapnya sejak beberapa tahun lalu ke beberapa negeri meliputi Selangor, Melaka, Johor, Kedah dan Sabah.

BH Agama berkesempatan mengunjungi cawangan MTS di Kajang di Selangor, menempatkan lebih 40 pelajar yang selesai hafazan 30 juzuk dan sedang mengikuti program persediaan untuk menyambung pengajian bidang al-Quran di institusi pengajian di Turki pada tahun ini.

Pengarah MTS Malaysia, A Hilmi Elmas, berkata sistem pengajiannya bukan bermatlamat melahirkan pelajar yang mampu menghafaz al-Quran, bahkan mereka menyediakan pentas lebih besar bagi memastikan setiap graduan mampu menjadi ilmuwan Islam yang berjaya.

"Bagi setiap pelajar yang diterima masuk ke sini, kami akan memberi penerangan kepada ibu dan bapa mereka bahawa anak-anak ini akan mengikuti pengajian yang panjang, iaitu selama tujuh tahun.

"Ia merangkumi empat tahun di negara ini dan baki tiga tahun menyambung pengajian dengan pembiayaan biasiswa penuh oleh MTS di Turki dengan sasaran melahirkan ahli agama yang mempunyai sijil agama, tauliah dan lebih bermakna kerana mereka juga penghafaz al-Quran," katanya.

Menerima pelajar berumur dalam lingkungan 13 tahun ke atas, A Hilmi berkata, konsep pengajian di MTS agak berbeza kerana mereka hanya dibenarkan menghafaz Al-Quran selepas melepasi kelas pra tahfiz selama setahun.

Di MTS Malaysia, kebanyakan guru ialah graduan yang dilahirkan oleh institusi itu sendiri dari kalangan warga tempatan dan sebahagiannya berasal dari Indonesia serta Turki.

*Tapis pelajar kelas pratahfiz*

Dalam kelas pra tahfiz, tumpuan adalah kepada proses membiasakan diri dengan bacaan al-Quran, memastikan ia lancar daripada aspek sebutan, tajwid dan membiasakan lidah dengan ayat suci.

"Bagi sistem pra tahfiz ini, biasanya maksimum 20 pelajar akan diselia oleh seorang guru al-Quran dan mereka dilatih untuk membiasakan diri dengan ayat serta huruf di dalamnya kerana seperti kita ketahui, ada sesetengah juzuk agak sukar tetapi ada pula mudah untuk dibaca dengan lancar.

"Menerusi cara ini juga kita dapat tapis pelajar dan menilai sejauh mana mereka bersungguh-sungguh untuk bergelar 'al-hafiz' kerana berdasarkan pengalaman kami, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa.

"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana hafazan al-Quran ini memerlukan disiplin, akhlak dan kerohanian yang tinggi daripada diri individu itu sendiri.

"Mungkin ramai yang anggap kelas pra tahfiz ini membazirkan masa, tetapi mengikut sistem MTS ia sangat berkesan kerana lebih lambat seseorang pelajar itu mula menghafaz, lebih cepat beliau mampu bergelar hafiz kerana sudah mendalami ilmu al-Quran sebaiknya," katanya.

Mengulas teknik hafalan Sulaimaniyyah, Hilmi berkata ia dapat menggalakkan setiap pelajar untuk tidak menamatkan pengajian separuh jalan.

Disebabkan formulanya berbentuk kitaran, ia bermakna pelajar tidak menghafaz mengikut turutan halaman daripada awal hingga akhir, sebaliknya melompat ke halaman juzuk seterusnya sehinggalah selesai.

*Tangkis persepsi pendidikan kuno*

Melihat kepada gaya pemakaian pelajar dan guru di MTS, ia agak berbeza dengan institusi tahfiz lain kerana mereka mengenakan baju kemeja dan seluar panjang dalam mengikuti pembelajaran harian.

Hilmi berkata, pakaian kasual itu menjadi identiti warga MTS di seluruh dunia dan bermatlamat memecahkan persepsi masyarakat yang melihat institusi tahfiz sebagai ketinggalan dan jauh daripada kemodenan semasa.

Ia juga secara tidak langsung menangkis tanggapan sesetengah pihak yang menuduh Islam menjauhkan kita daripada arus kemajuan, sebaliknya ia menerima baik perubahan selagi bersifat positif dan menggalakkan ke arah kebaikan.

*INFO*

_Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) Malaysia_

40 - Graduan dilahirkan

55 - Tenaga pengajar

400 - Jumlah keseluruhan pelajar

95 - Pelajar sedang menyambung pengajian di Turki

No comments: