Wednesday 30 October 2019

Study Ulum Hadis 2

Saya tidak kisah jika ada pihak tak kira siapa pun yang berselisih pandangan dengan saya mengenai isu status hadis sekiranya ada argument yang boleh diterima.
Jika ada yang ingin mengatakannya Sahih atau Hasan sekalipun, sila bawakan fakta yang bernilai mengikut disiplin ilmu hadis. Saya akan raikan.

Namun sekiranya hujahnya hanyalah dengan melebel saya atau mencemuh peribadi saya atau kerana penampilan saya atau kerana 'hadis' tersebut terdapat dalam kitab guru atau disebut oleh fulan fulan, itu bukanlah argument yang boleh diterima dalam dunia ilmu.

Kalau dalam kajian ilmiah akedemik argumentnya sedemikian atau atas dasar emosi dan kecenderungan peribadi semata, faham-fahamlah apa natijahnya.
Bayangkan saya berserban besar, adakah natijahnya akan berubah?

Kalau 'hadis' itu ada dalam kitab guru, masalah perawi dan kelemahannya yang saya nyatakan juga ada dalam kitab-kitab guru kepada segala guru.
Bukan saya yang kritik perawi tersebut, sebaliknya tokoh besar ilmu hadis semisal Ibn Ma'in, Abu Hatim, Ibn Hibban dan lain-lain!

Syeikh dalam video menukilkan sanad hadis itu dinilai Hasan oleh Ibn Majah. Di mana sumber kalam Ibn Majah tersebut dalam kitab beliau untuk disemak??
Bak kata Ibn al-Mubarak: "Tanpa sanad (sumber), sesiapa boleh kata apa yang dia nak kata!".

Yang paling saya tak tahan, dalam video yang dinyatakan dalam empunya post ini, hadis itu dinilai Sahih kerana syeikh dalam video cerita ada seorang ulama mimpi jumpa Nabi SAW tanya tentang kebenaran hadis ini dan baginda mengatakannya benar!

Seandainya mimpi boleh jadi indikator hadis Sahih, saya tak tahu nak cakap apa lagi.
Penat ulama hadis dahulu bina kanun ilmu hadis bergenerasi lamanya dan menetapkan kriteria yang ketat untuk 'filter' hadis yang dibawa perawi, tapi semua itu diruntuhkan dengan sebuah mimpi!
Mimpi yang semua orang termasuk saya boleh dakwa. Mimpi yang tiada siapa dapat menentukan kebenarannya kerana tidak dapat disemak!
Kalau ada syeikh lain pula dakwa dia mimpi Nabi SAW kata tak benar, macam mana nak semak??

Saya nukilkan kalam Imam al-Nawawi al-Syafi'i dalam Syarh Sahih Muslim: “Begitu jualah yang dikatakan oleh para sahabat kami dan selain mereka yang menukilkan kesepakatan bahawa suatu hukum yang diputuskan syarak itu tidak mampu diubah dengan sebab suatu mimpi...Tidak boleh mimpi tersebut memutuskan suatu hukum yang telah ditetapkan oleh syarak, kerana keadaan orang tidur itu bukannya bersifat jitu (dhabt) dan mampu menyemak (tahqiq) dengan apa yang didengar (orang yang sedar itu). Sepakat ahli ilmu bahawa sebahagian syarat untuk menerima periwayatannya dan penyaksiannya ialah dia sedar tidak leka, tidak buruk ingatannya, tidak banyak kesilapannya, tidak lompong kejituan (dhabt)nya. Dan orang yang tidur itu tidak mempunyai ciri ini, maka tidak diterima riwayatnya disebabkan kelompongan dhabtnya…”.

Jika semua orang agama guna mimpi untuk 'bina' agama, saya ingat tak payah belajar dah ilmu hadis, fiqh dan seumpama. Baik tidur lagi baik, boleh selalu mimpi!

-Dr. Kamilin Jamilin-

No comments: