Wednesday 30 October 2019

Study Ulum Hadis

Selepas mendarat tadi saya sempat membaca respon balas dua ustaz (jazahumullahu khayra) terhadap status hadis “جزى الله عنا محمدا ما هو أهله”.
Membaca respon ilmiah sebegini menggembirakan saya, selagi bukan berhujahkan mimpi!
Buat yang cemuh saya, sila baca jangan tidur. Kalau tidur nanti bermimpi pula.

Berkenaan respon PU Salman:

1.    Beliau menyatakan “Munkar” dalam ilmu hadis bermaksud perawi menyalahi hadis orang yang lebih “thiqah (terpercaya)” atau pun “tafarrud (terasing)” dari yang perawi yg lain.

Saya katakan:
Itu secara teori, namun secara praktikalnya boleh jadi bermaksud SANGAT LEMAH.
Sebagai contoh, lihat biografi perawi bernama:

-    IBRAHIM BIN ‘UTHMAN BIN KHUWASTI yang dinilai “Munkar” oleh imam Ahmad.

-    IBN ABI FARWAH yang dinilai “Munkar” oleh ‘Ali bin al-Madini.

2.    Beliau cuba menguatkan status perawi bernama Ja’far bin ‘Isa dengan lafaz penilaian oleh Abu Zur’ah iaitu “صدوق”. Menurut beliau “Saduq” ialah perawi yang tidak melakukan banyak kesilapan, hanya kadangkala sahaja tersilap.

Saya katakan:
Definisi yang beliau sebut itu ialah kenyataan al-Dzahabi, juga secara teori. Namun bagi yang biasa berkecimpung dalam menganalisis perawi atau hadis secara praktikal pasti sedar kalimah “Saduq” yang disifatkan pada perawi oleh ulama hadis terdahulu (al-mutaqaddimin) tidak semesti yang diguna pakai oleh ulama terkemudian (al-mutaakhkhirin) seperti al-Dzahabi dan Ibn Hajar. Boleh jadi seorang perawi itu dinilai “Saduq” dari sudut kredibiliti agama (‘adalah) sahaja, iaitu dia jujur tidak berdusta, namun dari sudut hafazan hadis (dhabt) dia seorang yang lemah.
Terlampau banyak perawi yang disifatkan sebagai “Saduq”, namun pada masa yang sama dia dinilai lemah dari pelbagai sudut, misalnya (saya sebut tiga sahaja):

-    ISMA’IL BIN ABI AWS.
Ibn Ma’in menilainya: “صدوق، ضعيف العقل ليس بذلك” yang bermaksud “Saduq yang lemah akal, tidak berapa (kuat)”.

-    MUSA BIN ‘UBAYDAH BIN NISTAS AL-RABADZI.
Ya’qub bin Syaibah menilainya: “صدوق، ضعيف الحديث جدا” iaitu “Saduq, sangat lemah dalam hadis”.

-    AL-HASAN BIN YAHYA AL-KHUSYANI.
Abu Hatim menilainya: “صدوق، سيء الحفظ” iaitu “Saduq yang teruk ingatannya”.

3.    Beliau menukilkan penilaian Ibn Ma’in terhadap Ja’far bin ‘Isa dengan lafaz “ليس بشيء (riwayatnya tiada apa)”. Kemudian beliau menyimpulkan berdasarkan tafsiran al-Fasi terhadap lafaz tersebut bermaksud riwayat perawi tersebut sedikit.

Suka saya nyatakan itu juga secara teori yang dipetik dari buku-buku. Secara praktikal, istilah “Laysa bisyai’” di sisi Ibn Ma’in biasanya bermaksud perawi tersebut SANGAT LEMAH berdasarkan kajian imperikal.
Dari sudut bahasa memang menepati fakta tersebut: “النكارة في سياق النفي تعم” iaitu penafian perawi yang dinilai dengan frasa tersebut memiliki sebarang kredibiliti, melainkan sekiranya ada pembuktian (qarinah) yang menunjukkan hadis perawi itu sedikit.
Seandainya hadis perawi tersebut sedikit dan hampir kesemuanya sangat bermasalah, tidakkah dia merupakan perawi yang sangat bermasalah??
Saya sertakan beberapa contoh perawi yang dinilai Ibn Ma’in dengan lafaz “Laysa bisyai’” sedangkan dia seorang yang sangat lemah dan dinilai sebagai “منكر الحديث”.

-    YAHYA BIN AL-MUTAWAKKIL AL-DHARIR.
Terdapat pelbagai lafaz Ibn Ma’in terhadap perawi ini  pada riwayat Ibn Mhriz, al-Duri, Ibn al-Junayd, al-Darimi, Ibn Tahman, Ibn Abi Yahya, Ibn Abi Khaythamah dan al-Ghullabi.
Menurut riwayat muridnya al-Duri dan Ibn Abi Khaythamah, Ibn Ma’in menilainya: “ليس حديثه بشيء” iaitu “hadisnya nothing”, manakala dalam riwayat al-Ghullabi, Ibn Ma’in menilainya “منكر الحديث”.
Sememangnya perawi ini bertaraf sangat lemah sebagaimana penilaian Ibn Ma’in, Ahmad bin Hanbal, al-Fallas, al-Saji, Ibn Hibban, Ibn ‘Adi, Abu Ahmad al-Hakim, al-Haythami dan al-Dzahabi.

-    AYYUB BIN SAYYAR AL-ZUHRI
Ibn Ma’in menilainya sebagai “ليس بشيء” dan pada masa yang sama beliau menilainya sebagai “كذاب” iaitu pendusta.
Status perawi ini sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Ma’in iaitu sangat lemah menurut kesepakatan ulama hadis seperti ‘Ali bin al-Madini, al-Fallas, al-Bukhari, al-Juzjani, Abu Zur’ah, Abu Dawud, al-Nasa’i, Ibn Hibban, Ibn ‘Adi, al-Daraqutni, al-Dzahabi dan al-Haythami.

====================

Berkenaan respon kedua oleh al-Fadhil Dr. HS, saya sangat hargai kerana beliau mengulas dengan berhemah tanpa cacian dan lebelan yang tidak berkenaan. Saya ucapkan tahniah atas kejayaan beliau baru-baru ini. Moga sentiasa dalam tawfiq Allah.

Respon saya terhadap beliau secara ringkas (penat dah tulis):

1.    Amalan para masyaikh yang dinyatakan beliau tidaklah dikira sebagai penguat hadis. Banyak sahaja amalan yang tersohor namun tidak sahih. Sekiranya ia amalan para Sahabat RA yang sahih maka lain nilainya.

2.    Memahami istilah ulama hadis generasi awal (al-mutaqaddimin) sangat kritikal dalam menilai perawi atau hadis. Jangan ditempel semua kanun ilmu hadis yang dirangka oleh para al-mutaakhkhirin pada al-mutaqaddimin. Ulama al-mutaqaddimin dahulu tidak begitu mementingkan perbezaan istilah secara lafzi.
“Hasan” dan “Sahih” dirangkum sekali. “Thiqah” dan “Saduq” adakala dirangkum sekali. Apatah lagi lafaz “Dhaif”. Banyak sahaja kes mereka menilai yang sangat lemah dengan lafaz “Dhaif” sahaja. Namun melalui bukti (qarinah) ia bermaksud sangat lemah.  Apatah lagi dalam kes Hani’ bin al-Mutawakkil ini, Ibn Hibban telah memperincikan kelemahannya dan Abu Hatim pula tidak menulis hadis darinya walaupun sempat dengannya yang mengisyaratkan kelemahan teruk perawi tersebut.
Abu Hatim manhajnya masih lagi toleran menulis hadis perawi yang kelemahannya ringan. Jika beliau tidak tulis, maka ada isyaratnya. Ibn Hibban pula menyatakan kelemahan hadis Hani’ yang banyak berlaku, sedangkan jumlah hadisnya sedikit.
Manfaat ilmu al-Jarh Wa al-Ta'dil secara praktikal ialah melatih kita memahami istilah-istilah khas dan umum para ilmuwan hadis terdahulu.

3.    Beliau membawakan nukilan al-Sakhawi kemudian menyimpulkan “Manakala penjelasan al-Hafiz as-Sakhawi, walaupun beliau tidak menilainya sbg hasan li-ghairih, membuktikan bhw hadis tsb mempunyai sedikit kekuatan krn disokong oleh jalan-jalan riwayat yg lain!”.

Saya katakan:
Apa guna sanad banyak tapi semua sumber tersebut tetap lalu pada perawi yang sama (madar al-sanad) iaitu Hani’ bin al-Mutawakkil yang bermasalah!
Saya bagi contoh, kalau jalan balik ke Kota Bharu hanya boleh melalui satu jalan di Gua Musang dan jalan tersebut rosak, kot mana kita datang dari 1000 jalan sekalipun kalau kena lalu juga jalan rosak yang satu tu, tetap tak jadi, kerana puncanya tidak diselesaikan!
Mutaba’ah hadis bukan semata-mata himpunan sanad, namun sanad penyokong itu mesti ‘merawati’ punca penyakit. Dalam kes hadis tersebut, perlu lalu jalan selain Hani’ bin al-Mutawakkil.
Bila tengok jalur lain, lalu pula pada perawi bernama JA’FAR BIN ‘ISA yang juga bermasalah dari sudut ‘adalah (kredibiliti agama) iaitu seorang Jahmi yang ditinggalkan hadis darinya sebagaimana yang disebutkan Abu Hatim.
Kot mana jalan pun tetap ada kerosakan teruk.

Ok, cukup dulu setakat ini. Baru mendarat dah kena coret.
Kalau tak setuju, cukuplah kata yang baik-baik sahaja, tidak perlu cemuhan dan tohmahan.
Moga Allah merahmati kita semua.

-Dr. Kamilin Jamilin-

No comments: